Search This Blog

Kena Tampar Kat Warung Kopi



Pagi tadi sewaktu mengeteh di kedai Along, saya lihat ada seorang bapa datang bersama anaknya yang masih kecil, semuanya 5 orang. Sampai di pinggir warung, mata si bapa terkebil-kebil mencari sudut yang tidak panas. Dia mahu kawasan yang redup untuk anak-anak.

Sambil hirup perlahan teh o panas dan menyuap roti canai garing ke dalam mulut, saya perhatikan saja keluarga ini. Datanglah Jonos ke meja mereka. Si Jonos budak muda yang berkuli dengan Along setiap pagi.

" Pagi bang, mai saya ambil order minum dulu. Nak minum apa ?".

" Hmm, bagi milo satu dengan air suam empat", balas si bapa tadi.

" Makan apa bang ? " soal Jonos.

" Buat roti canai 3, potong halus, banjir ya", pesan si bapa.

Naluri kebapaan saya ini bagaikan dapat membaca apakah yang bakal berlaku sekejap lagi. Air teh saya mula terasa tawar, roti canai depan mata saya kuis-kuis dengan sudu sambil bermain perasaan. Allahu..

Sebaik minuman dan makanan yang dipesan tadi sampai ke meja mereka. Si bapa mencampurkan secawan milo tadi ke dalam empat cawan air suam anak anaknya. Si anak mengangkat tangan serentak sambil membaca doa makan. Kedengaran perlahan, " Bismillahirahmanirahim, Allahumma barik lana fi ma razak tana. Wa qina azabannar. Amin".

" Hah, minum slow-slow air milo tu ya" kata si bapa.

Roti canai banjir tadi juga dibahagikan seorang sedikit. Maka berkongsilah sesuap dua adik beradik ini. Roti canai Along memang sedap dan terkenal di sini, terpancar sinar ceria dan suka di wajah mereka semua.

Tidak ada seorang pun anak-anak yang mengeluh. Tidak ada seorang pun antara mereka yang nakal. Semuanya duduk tertib, makan dan minum dengan sopan sekali. Seolah mereka mengerti nilai sebuah kesyukuran di pagi ini.

Tidak sampai 20 minit, mereka habis makan dan berlalu pergi. Saya kembali merenung roti canai yang sudah kembang di dalam pinggan. Kepala terus berfikir, pengajaran apakah yang Tuhanku mahu ajarkan di pagi hari begini ?

Sahabat, terkadang kita merasakan hidup kita sudah cukup susah apabila diuji dengan sedikit masalah. Rupa-rupanya masih ada yang lebih susah berbanding kita. Bukan kesusahan itu yang mahu kita nikmati, tetapi nilai disebalik setiap situasi itulah yang patut kita syukuri.

Sungguh, aku seperti ditampar di warung kopi.

Boleh kongsi cerita ini dengan semua orang yang kita sayang.

Ikram Al-Banjari.
Saudagar Jalanan

* Hayati kisah ini ... Semoga bermanfaat buat semua ...

3 comments:

  1. Betul tu Hani..
    Kita rasa kita susah...
    Sebenarnya lebih ramai yg susah dari kita..
    Tengok mereka berbahagia menikmati rezeki yg sedikit itu dikongsi bersama...
    "Maka nikmat mana yg ingin kita dustakan "

    ReplyDelete
  2. Terkesan dengan kisah ini. Huhu
    Kadang-kadang terasa diri nie dah susah dah. Rupanya ada orang lagi susah daripada kita.
    Alhamdullilah untuk setiap rezeki dan nikmat yang dikurniakan..

    ReplyDelete
  3. Kdg² kita rasa kita susah..
    tapi sbnrnyer ada lagi yg lebih susah dr kita kan...
    bgs anak² dia..mengerti kesusahan dan kepayahan ayah dia...

    ReplyDelete