Hadam kan...
1. Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) memandang serius penularan kembali penyakit berjangkit seperti Difteria yang telah lenyap sejak sekian lama. Terbaharu terdapat 11 kes Difteria yang baru (3 kes disahkan & 8 kes disyaki) yang melibatkan 2 kematian.
2. Penyakit ini timbul kembali akibat keengganan sebilangan ibu bapa mematuhi polisi dan nasihat Kementerian Kesihatan untuk menvaksinkan anak mereka mengikut jadual yang ditetapkan.
3. Faktor keengganan ini dikenalpasti berpunca dari salah faham masyarakat yang mendapat maklumat salah dari sumber terbuka seperti media sosial yang tidak diketahui kredibiliti dan tahap keilmuannya.
4. Selain itu, pendirian menolak vaksin juga berpunca dari mendengar hujah agama mengenai status vaksin daripada kelompok agamawan yang tiada keahlian dalam ilmu dan perihal perubatan yang rumit.
5. Masyarakat harus sedar bahawa vaksin adalah satu kaedah pencegahan yang telah diiktiraf dan diamalkan ribuan doktor Muslim yang ahli, amanah dan thiqah (dipercayai) di seluruh dunia. Adalah mustahil dan cetek fikiran jika ada yang mengganggap kelompok professional ini terpengaruh dengan konspirasi musuh Islam ataupun tidak maklum status halal haram vaksin semasa memberikannya kepada pesakit mereka.
6. IMAM memandang proses pelalian vaksin adalah amat menepati saranan Syariat Islam yang meletakkan penjagaan nyawa (Hifz an-Nafs) sebagai antara Maqasid yang diberikan prioriti utama.
7. IMAM juga menyokong sepenuhnya Polisi Vaksin Berjadual Kementerian Kesihatan sejak awal 70-an, dan menyeru masyarakat memanfaatkan kemudahan vaksin percuma ini. Usaha ini selaras kaedah Fiqh yang menyatakan "Polisi Pemerintah ke Atas Rakyat Haruslah Bersandarkan Kepada Maslahah".
8. IMAM menyeru kalangan agamawan yang berwibawa agar menyampaikan fakta yang benar mengenai vaksin dan menghindar prasangka yang tidak benar. Mana-mana pihak agama dan masyarakat yang masih keliru tentang peranan dan kepentingan vaksin disyorkan bertanya kepada mereka yang ahli dalam bidang ini iaitu doktor dan pakar perubatan yg Muslim terutamanya.
"Dan Kami tidak mengutuskan sebelum engkau (Muhammad), melainkan orang laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka; MAKA BERTANYALAH KEPADA ORANG YANG MEMPUNYAI PENGETAHUAN JIKA KAMU TIDAK MENGETAHUI." An Nahl:43
9. Kehilangan nyawa oleh penyakit yang seharusnya dapat dicegah vaksin adalah suatu yang amat dikesali. Masyarakat tidak boleh fikir mudah mengatakan zaman Nabi dahulu tiada masalah walaupun tiada vaksin. Hakikatnya dunia hari ini terdapat pelbagai penyakit baru dan juga kemudahan pergerakan diantara negara/benua mendedahkan masyarakat kepada 1001 penyakit dari serata dunia.
10. Sebagai Muslim, dalam kita beriktikad bahawa Allah adalah Maha Menurunkan dan Menyembuhkan segala penyakit, kita juga wajib menerima bahawa manusia sebagai makhluk ciptaan Allah sentiasa tertakluk kepada aturan Sunnatullah Ilahi. Antaranya ialah manusia boleh sakit apabila dihidapi patogen seperti bakteria dan virus, dan didalam tubuh manusia pula terdapat sistem imun yang boleh diaktifkan secara pasif atau aktif bagi melawan patogen ini. Sunnatullah pada jasad inilah yang dikaji para saintis perubatan yang kemudiannya merumuskan vaksin mampu merangsang sistem imun manusia untuk mencegah jangkitan patogen tertentu.
11. Justeru IMAM menyeru agar setiap masyarakat tidak mementingkan diri sehingga membahayakan nyawa keluarga dan jiran tetangga. Galakan pengambilan vaksin sehingga tercapai 'Herd Immunity' yang tinggi dalam suatu komuniti adalah tanggungjawab Fardhu Kifayah setiap individu dalam masyarakat tersebut.
12. IMAM yang mempunyai lebih 3000 keahlian dari pengamal perubatan Muslim yang professional sedia menawarkan tenaga pakar kepada pihak institusi, jabatan, NGO dan media yang ingin mendapatkan penerangan tuntas atau menganjurkan program diskusi mengenai vaksinasi.
Sekian.