sambungan cerita daripada n3 yang lepas ... KALAU TAK SUKA, PULANGKAN... dan KALAU TAK SUKA, PULANGKAN....2
“Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.
“Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”
Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.
“Awak masak apa?”
“Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.
“Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”
“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan.
“Keluar!”
“Mama dah masak Pa!”
“Awak saja makan!”
“Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!”
Laila  tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil  hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah  papanya keluar dari ruang makan.
“Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi.
“Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.”
“Abang tak suka tengok papa marah-marah. .”
“Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?”
Kata-kata  Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di  hati kecilnya turut terguris.Besar sangatkah dosanya hingga menjamah  nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?
Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.
“Laila..” serunya
“Sudahlah  tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita  tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau  nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.
“Sunyi pulak rumah ni mak,”
“Lama-lama kau biasalah.”
Airmatanya  menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa terhukum. Hampir  segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka.  Kehilangan yang amat sangat.
———————————————————————————-
“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.
“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”
“Tak ada lah?”
“Ingat papa ni cop duit?”
Aiman  termangu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah  kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu  mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum  petang.
Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya.
“Awak tak sihat ke?”
Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.
“Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.
Shamizi  tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi  yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.
“Tengok!  Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah  tak sah!” Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju  mamanya dipegang kejap.
Lengan Aiman dipegangnya kuat  hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya  hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas  dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis.  Aimin mendapatkan mamanya.
“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”
Laila  bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya.  Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya  terhadap anak-anak.
“Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. ” Ujar Laila perlahan
“Macamana  awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak  orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat  sana , kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.
Shamizi  meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak  pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada  saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup  dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang  bukan-bukan terhadap mereka.
———————————————————————————–
“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.”
Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang.
Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah.
“Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.
“Abang!”
“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.
Akhirnya  tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu  hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi  semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita  Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan  sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.
Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.
“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk.
“Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.”
Alangkah  mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila.  Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak  pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan  mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma  dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih  baik dari A.
“Laila”
—————————————————————————————————-
“Papa  nak ke mana hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil menjeling ke  cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. “Wangi-wangi lagi.  Dating ye?”
“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat  makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja  batiknya.
“Ikut boleh?”
“Dia tak ajak family. Staff only!”  Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi  ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan  Harlina. Staff yang masih muda dan bujang.
“Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami.”
“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. “
“Papa pesanlah..”
“Nantilah besar sikit.” Dalihnya.
“Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”
“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,”
Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”
“Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.”
“Mama tanya sikit boleh?” Dia mengangguk
“Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?”
Mereka  dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga  mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan  hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja  hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain  tarik-tarik alas kainnya.
“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah.
Shamizi  sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi  amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila  bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang  anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang  dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila  tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma  perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain.  Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan  anak-anaknya pada rakan-rakan.
“Kalau tak suka pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.
Pagi  itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila  Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan  menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba  menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu  tidak pula disusuli dengan perkelahian.
“Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan! ” Laila merenungnya dalam..
Matanya  berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu.  Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk  menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat  airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang  hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan.  Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di  dalam bekas tidak diambil.Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa..
“Kalau tak suka pulangkan,”
Kali  ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang  selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat  anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan  lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya  bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak  bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat  rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang  terselit di rumpun bunga.
Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.
Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.
Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah.
Laila  pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah  kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun  untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal  dilahirkan dua bulan lagi..
Dia menangis semahu-mahunya bila  menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh  Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu,  lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana  keengganannya Laila dipulangkan…….