Syukur adalah pengakuan hati terhadap sesuatu ganjaran, nikmat yang dianugerahkan yang diberikan oleh ALLAH Taala. Syukur juga bukan hanya meliputi terhadap perkara-perkara nikmat, malah ianya juga meliputi syukur kerana terlepas daripada bala, malapetaka dan bencana yang menimpa.
Setiap muslim dituntut supaya bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah s.w.t berikan. Sekiranya kita hitung nikmat yang Allah s.w.t berikan kepada kita sudah tentu terlalu banyak sehingga tidak terhitung oleh kita. Antara nikmat yang telah diberikan oleh Allah itu seperti nikmat Islam, Iman, Akidah yang benar, kelapangan waktu, kesihatan tubuh badan, ketenangan jiwa, kebahagian rumah tangga, ilmu dan sebagainya
Oleh itu :
- Apabila kamu melihat orang kafir hendaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kamu dilahirkan sebagai seorang Islam dan jangan lupa berdakwah dan berdoa semoga mereka juga akan diberi hidayah oleh Allah s.w.t. Janganlah kita menghina dan membenci mereka sebaliknya , adakah kita telah berdakwah dan memberitahu tentang kebenaran Islam kepada mereka seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.?
- Apabila kita melihat orang melakukan maksiat dan engkar perintah Allah s.w.t maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita dianugerahkan oleh Allah s.w.t sifat Taqwa dan sentiasa menurut perintah Allah s.w.t dan janganlah untuk mengajak mereka melakukan ketaatan dan menjauhi segala perkara maksiat sebaliknya janganlah kita umpati mereka.
- Apabila kita melihat orang jahil dengan ilmu Allah s.w.t hendaklah kita segera bersyukur kepada Allah s.w.t kerana Allah s.w.t telah memberikan kita kefahaman ilmu agama kerana memahami agama juga merupakan rezeki yang Allah s.w.t akan kurnikan kepada mereka yang dipilih dan disayangiNya sahaja. Oleh itu hendaklah kita berdoa kepada Allah s.w.t agar orang yang jahil dalam kalangan umat Islam diberikan nikmat kefahaman Ilmu agama. Allah akan memberikan dunia ini kepada orang yang Dia suka dan orang yang Dia benci sebaliknya Allah s.w.t akan memberikan agama atau akhirat kepada orang yang Dia sayang sahaja. Adakah kita tergolong dalam golongan yang disayangi Allah s.w.t.?
- Apabila kita melihat orang terkena musibah sama ada sakit, susah, atau terkena sebarang bencana hendaklah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita telah diberikan kesihatan, kesenangan, kekayaan dan sebagainya oleh Allah s.w.t. Oleh itu hendaklah kita berdoa dan berusaha untuk menolong orang yang lebih susah dan lebih memerlukan daripada kita.Allah s.w.t jadikan seseorang itu susah supaya mereka bersabar di atas kesusahan itu lalu mereka mendapat pahala, pada masa yang sama juga orang yang senang akan mendapat pahala juga dengan cara memberi pertolongan kepada mereka yang susah. Fikir-fikirkanlah ...
Bukan itu saja, banyak lagi rahmat yang dikurniakan Allah kepada kita. Wajarkah manusia lupa terhadap Allah? Tidak pernah mengingati dan menyebut nama Allah, tidak pernah bersyukur dan memuji Allah, bahkan tidak pernah beribadah menyembah Allah?
Allah menyeru manusia supaya selalu ingat dan jangan lupa terhadap-Nya dalam firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan sebanyak-banyaknya.” (Surah Al-Ahzab, ayat 41)
Orang yang sentiasa mengingati Allah, Allah akan sentiasa mengingatinya, jiwanya menjadi tenang, hatinya tenteram, jauh dari perasaan gelisah. Hasilnya, lahirlah budaya pekerti dan tutur kata mulia. Semua orang merasa senang dan bahagia bersamanya, walaupun kehidupannya serba kekurangan.
Firman Allah yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah hanya dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)
Sebaliknya, mereka yang melupakan zikrullah dan hanya memikirkan keseronokan kehidupan dunia, hatinya semakin lama akan menjadi keras membatu. Hati yang lalai kepada Allah akan membentuk tingkah laku dan tutur kata yang kasar. Dosa dan kemungkaran menjadi amalan biasa padanya.
Marilah kita bersama berzikir dengan membaca al-Quran, doa dan wirid daripada Rasulullah seperti diajar kepada sahabatnya, Muadz Bin Jabal iaitu: “Ya Allah tolonglah aku, supaya (dapat) sentiasa mengingatiMu dan mensyukuri serta memperbaiki ibadatku kepadaMu.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Tidak kira di mana pun kita berada, sentiasa hadirkan Allah dalam diri kita. Sesungguhnya, kita adalah hamba-Nya yang hebat di dunia, berjaya di akhirat kelak.
Wallahua'lam ...