Perkahwinan itu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana ia membawa kepada ketenteraman jiwa, menahan emosi, menutup pandangan dari segala yang dilarang dan untuk mendapatkan kasih sayang suami isteri yang dihalalkan.
Perkahwinan juga dapat menjalin ikatan kekeluargaan di antara keluarga suami dengan keluarga isterinya, iaitu memperkuat ikatan kasih sayang sesama mereka. Keadaan ini setentunya memberi sumbangan kepada kekukuhan keluarga dan masyarakat. Disamping itu perkahwinan juga berfungsi untuk mengembangkan keturunan.
Perkahwinan itu bererti tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh suami dan isteri. Antara tanggungjawab atau kewajipan suami terhadap isteri dan orang-orang yang di bawah tanggungannya adalah memberikan nafkah. Nafkah itu meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kewajipan memberi nafkah timbul kerana ikatan pernikahan iaitu suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Manakala jumlah nafkah yang wajib diberikan adalah mengikut kemampuan dan kebiasaan setempat.
Pengertian Nafkah
Nafkah ialah penunaian belanja daripada harta seseorang untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anaknya. (An-Nawawi: Raudah At-Talibin 6/449 & Al-Mawardi: An-Nafakat 29)
Kewajipan nafkah itu telah ditentukan oleh Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
Tafsirnya: "Dan kewajipan bapa (suami) pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu (isteri) menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya".
(Surah Al-Baqarah: 233)
_________________________________________________________________
Setelah beberapa tahun saya menjadi pengamal undang-undang dan berkongsi ilmu dalam beberapa 'ceramah', isu yang selalunya timbul apabila membicarakan tentang poligami adalah isu mengenai nafkah.
Dalam sebuah kuliah yang saya hadiri, ada seorang muslimat bertanya, "Puan, boleh tak kita mencuri duit dari poket suami untuk kegunaan keperluan rumahtangga?"
Walaupun saya pasti majoriti anda sudah maklum akan jawapannya, di sini saya sekadar ingin bertanya pihak suami, "Kenapa harus isteri mencuri haknya sendiri yang tidak kamu tunaikan?"
Dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: "Saya datang kepada Rasulullah S.A.W lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami?" Sabdanya: "Berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka (H.R Abu Dawud)
Ayat-ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa setiap suami bertanggungjawab memberi makanan, pakaian kepada isterinya sesuai dengan kemampuannya. Suami tidak boleh memberi makanan dan pakaian kepada isterinya lebih buruk daripada apa yang dimakan dan dipakai suaminya.
Begitu juga kadar makan dan pakai yang menjadi hak isteri diberikan mengikut kadar yang mampu diberikan oleh suaminya. Di dalam hal ini isteri tidak boleh meminta sesuatu yang di luar kemampuan suaminya. Akan tetapi sekiranya si suami mampu memberikannya lebih tetapi tidak diberikan maka dalam situasi ini si isteri dibenarkan mengambil harta suaminya seperti sabda Rasulullah S.A.W:
Dari Aisyah r.a berkata: Sesungguhnya Hindun datang kepada Rasulullah lalu bertanya: "Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah orang yang kikir dan tidak mahu memberikan kepadaku belanja yang cukup untukku dan anakku, sehingga terpaksa aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya". Lalu Baginda bersabda: "Ambillah sekadar cukup untuk dirimu dan anakmu dengan wajar". (H.R Bukhari dan Muslim.
*Menurut Imam an-Nawawi bahawa hak-hak yang wajib terhadap isteri itu tujuh perkara iaitu;
i. Makanan.
ii. Bahan-bahan keperluan dapur seperti rempah-ratus (bawang, beras/ tepung, minyak masak, garam, gula, asam termasuk lauk-pauk dan sebagainya)
iii. Pembantu rumah bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.
iv. Pakaian.
v. Alat-alat pembersih badan (sabun, syampu, dan lain-lain)
vi. Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas bilik tidur dan sebagainya
vii. Tempat tinggal (rumah).
(an-Nawawi: 450-461)
Nafkah suami terhadap isteri yang tidak terlangsai itu akan tetap dikira sebagai hutang sekiranya isterinya tidak redha.
Mengikut Hukum Syara' isteri yang taat dan tidak disabitkan nusyuz oleh Mahkamah Syariah berhak mendapat nafkah daripada suaminya.
*Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah suaminya iaitu antara lain;
a) Apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya.
b) Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya.
c) Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
Kepada para isteri, andai isteri-isteri semua redha tidak diberikan nafkah tersebut oleh si suami, maka terlepaslah hukuman untuk suami-suami anda di akhirat. Tetapi andai isteri tidak redha, persoalan nafkah ini akan tetap dibangkitkan kembali ketika hari penghisaban di akhirat kelak.
Kepada para suami sekiranya nafkah si isteri tersebut sengaja diabaikan, bawalah bertaubat dan langsaikanlah semula hak-hak si isteri mengikut kemampuan anda. Sudah tentu anda tidak mahu disekat daripada menjejakkan kaki ke Syurga semata-mata kerana hutang anda yang tidak terlangsai kepada si isteri. Wallahualam.
Sumber :- Hutang Suami Kepada Isteri
No comments:
Post a Comment