Semalam saya ada buat entry pasal PEMERIKSAAN MAMOGRAM PERCUMA ... Program tu dianjurkan oleh ADUN kawasan saya ... Kat sini saya terangkan serba sedikit tentang MAMOGRAM ... Semoga bermanfaat untuk kengkawan semua ...
Mamogram adalah suatu pemeriksaan saringan sinar-X yang dilakukan untuk mengesan peringkat awal kanser payudara.
Siapa yang memerlukan MAMOGRAM ?
Semua wanita yang berumur 40 tahun dan ke atas boleh menjalani pemeriksaan ini.
Mengapa saya memerlukan MAMOGRAM ?
Mamogram dapat mengesan kanser payudara pada peringkat paling awal iaitu sebelum ketumbuhan dapat dirasai oleh payudara. Ia juga berkesan untuk meneliti kesihatan am payudara.
Bagaimana MAMOGRAM dilakukan ?
Pemeriksaan ini dilakukan oleh Juru X-Ray wanita. Ia mengambil masa selama 10 minit hingga 30 minit. Anda diperlukan untuk mendedahkan bahagian dada anda. Kemudian payudara anda akan diletakkan di antara 2 plat yang terdapat pada mesin. Selepas itu dedahan sinar-X akan dibuat. 2 keping filem sinar-X akan diambil bagi setiap sebelah payudara melalui sudut yang berlainan. Pemeriksaan mamogram adalah selamat kerana radiasinya adalah di tahap sangat rendah.
Persediaan untuk MAMOGRAM ?
Peringatan: Elakkan menguna minyak wangi, deodorant, bedak atau krim pada bahagian dada dan ketiak pada hari pemeriksaan mamogram. Bahan-bahan dalam produk-produk ini mungkin akan menjejaskan keputusan mamogram. Anda perlu memakai pakaian ringkas atau blaus dan seluar panjang atau skirt panjang. Pakaian atas perlu ditanggalkan semasa pemeriksaan dilalukan.
Tip: Lakukan pemeriksaan selepas haid kerana pada masa itu payudara kurang sensitif. Elak minum minuman yang berkafein (kopi, teh, air berkabonat dan coklat) selama seminggu atau dua minggu sebelum hari temujanji. Kafein boleh menyebabkan payudara terasa sakit.
Bagaimana jika keputusan MAMOGRAM saya abnormal ?
Anda akan dirujuk kepada pakar di hospital atau di pusat perubatan untuk penyiasatan lanjut. Keputusan mamogram yang abnormal tidak semestinya bermakna anda mempunyai kanser. Pakar akan melakukan penyiasatan lanjut dan akan memberikan nasihat dan rawatan yang bersesuaian.
Di mana anda boleh mendapatkan Pemeriksaan MAMOGRAM ?
Anda boleh mendapatkan perkhidmatan ini di pusat-pusat mamogram kerajaan dan swasta. LPPKN menyediakan subsidi bagi pemeriksaan mamogram untuk wanita-wanita layak. Sila rujuk kepada mana-mana klinik LPPKN yang berhampiran.
Pengesanan Awal Menyelamat Nyawa. Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terutama wanita mengenai kanser payudara, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan Program Subsidi Ujian Mamogram. Program ini mensasarkan kepada wanita warganegara Malaysia dan penduduk tetap yang berumur 40-70 tahun yang layak bagi mendapat saringan ujian mamogram di Pusat Mamogram Swasta yang berdaftar dengan LPPKN. Walaubagaimanapun bagi wanita yang berumur 35-39 tahun yang mempunyai sejarah keluarga mendapat kanser payudara sebelum berumur 40 tahun juga layak mendapat subsidi ini melalui rujukan Doktor.
Ujian saringan mamogram PERCUMA diberikan kepada wanita yang berisiko tinggi berpendapatan isirumah RM10,000.00 dan ke bawah. Manakala bagi wanita yang berpendapatan isirumah melebihi RM10,000.00, subsidi sebanyak RM50 diberikan bagi setiap ujian mamogram yang dilakukan.
Wanita yang tidak mempunyai sebarang gejala dan tanda pada payudara mereka digalakkan untuk menjalani ujian mamogram melalui Klinik-Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara. Wanita yang layak akan dirujuk ke Pusat Mamogram Swasta yang berdaftar di bawah program ini.
Bagi wanita yang telah dikesan positif kanser, diharap dapat menjalani penyiasatan lanjut dan mendapatkan rawatan di Hospital Kerajaan atau Hospital Swasta. Wanita yang memerlukan bantuan kewangan, kaunseling dan sokongan khidmat nasihat akan diberikan oleh pelbagai agensi yang berkerjasama di bawah program ini.
Semoga Program Subsidi Ujian Mamogram dapat memberi manfaat kepada wanita dalam usaha pengesanan awal kanser payudara.
Sumber : LPPKN