Search This Blog

Wanita dan Rama-Rama


Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena.
 
Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda – warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.
 
Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan-tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar.
 
Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya.
 
Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.
 
Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa.
 
Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar – indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan.
 
Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya.
 
Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda.
 
Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna-warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati.

  
Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama.
 
Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.
 
Nukilan Dr HM Tuah Iskandar al-Haj.

*Semoga entry yang aku kongsi kali ini bermanfaat buat semua ... Maaf sebab aku memang tak reti nak karang sendiri entri-entri ilmiah cam nie ...

Kau, Aku, Kita


Aku ada 2 tangan 2 kaki ... 

10 jari tangan, 10 jari kaki ... 

Kau boleh sakitkan mana-mana pun aku tak kisah ...

Tapi, kenapa kau mesti sakitkan hati aku? 

Hati aku cuma ada satu jer...

TAZKIRAH JUMAAT #44 | TANDA2 KEMATIAN

Tanda 100 hari sebelum hari mati
 
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan
disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua
orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau
tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan
mengalami getaran atau seakan-akan menggigil. Contohnya seperti daging
lembu yang baru saja disembelih di mana jika diperhatikan dengan
teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda
ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati
bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti
dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka
yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan
tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja
tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini
maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk
mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau
ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati 

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita 
akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita
akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka
malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat
persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti
kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan
memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang
terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun
malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut
nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari 

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan 
musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara
tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari 

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita 
iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka
berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi
banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan
kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi
dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini
dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan
layu di mana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam.
Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan
sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari 

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu 
denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini
menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan
harinya.

Tanda akhir 

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di
bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan
naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap
kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat
maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah
menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Allah berfirman mahfumnya “Katakanlah (wahai Muhammad); Nyawa kamu 
akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika
habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu
(untuk menerima balasan)” As Sajadah-11

 
 
InsyaAllah kengkawan semua, sama-sama kita perbaiki diri sebelum ajal 
menjemput kita pergi buat selamanya. Wassalam...