Apabila
menyebut tentang menutup aurat, maka si penyebut biasa dikaitkan dengan
gelaran ustaz, orang alim, orang agama dan sebagainya. Ia seolah
menjadi satu frasa yang khusus untuk orang alim sahaja seolah-olah
menyebut tentang sesuatu yang diajar didalam agama itu milik orang alim
dan bukannya orang Islam.
Aurat dan seksi adalah dua perkataan yang mempunyai banyak hubungan
dalam kebanyakan artikel dan penulisan seluruh dunia. Menyebut tentang
aurat, pastinya perkataan seksi adalah lawan baginya. Begitu juga
apabila menyebut tentang seksi, sudah pasti ia adalah perkara yang
membuka aurat. Saya tidak boleh menafikan perkara tersebut. Itulah
adalah perkara yang sekian lama bermain di benak semua orang.
Tapi pernahkah anda terfikir bahawa menutup aurat itu seksi?
Bagaimana pula menutup aurat boleh menjadi seksi? Bukankah menutup aurat
itu bererti menghilang status seksi?
Disinilah ingin saya sampaikan satu skop pandangan seksi terhadap
mereka yang menutup aurat dan sebenarnya seksi inilah yang banyak
menarik perhatian ramai lelaki tidak kira sama ada mereka mempunyai iman
atau lelaki dari golongan 'buaya darat'.
Didalam kajian psikologi, lelaki sebenarnya mempunyai nafsu fantasi
lebih kepada wanita yang menutup tubuh berbanding yang membuka dan
mendedahkan aurat. Mengapa ia terjadi sedemikian?
Ini adalah kerana sesuatu yang sukar dilihat,tersembunyi atau
diperolehi adalah sesuatu yang berharga. Kerana itu kebanyakan blog atau
web yang menggunakan topik wanita muslim bertelanjang sering mendapat
respon daripada lelaki bukan Islam dari seluruh dunia. Tetapi selalu
yang dipaparkan ialah gambar daripada model yang berpakaian ala Islam
kerana hakikatnya wanita muslim sejati tidak akan berbuat demikian.
Cuba kita singkap betapa komuniti yang sudah tegar dan agak biasa
dengan situasi wanita yang membuka aurat menganggap wanita muslim
mempunyai aset yang bernilai kerana menyimpan keindahan kecantikan
fizikalnya hanya kepada yang berhak.
Ia sebenarnya adalah konsep nilai yang ada pada amalan itu sehingga
amalan menutup aurat yang samasekali berlawanan dengan seksi itu,
dianggap seksi pada kelasnya yang tersendiri.
Lelaki barat atau bukan Islam sebenarnya manusia biasa seperti lelaki
Islam. Mereka punyai nafsu dan perasaan. Nafsu mungkin menyeronokkan
mereka melihat gadis-gadis mereka berpakaian seksi tetapi jauh di sudut
hati ada perasaan cemburu bila gadis yang sudah menjadi kekasih atau
isteri dipuji orang kerana keseksiannya.
Konsep Islamophobia sebenarnya banyak menutup mulut lelaki bukan
Islam di seluruh dunia mengakui bahawa wanita muslim adalah wanita yang
paling seksi di dunia. Ini adalah kerana amalan menutup aurat itu begitu
istimewa kepada pemilik wanita itu iaitu suaminya kerana hanya dia
seorang yang berhak menikmati keseksian isterinya.
Sedar atau tidak, seksi yang ditafsirkan pada mata kepala sedia ada
adalah hanya satu perkara yang menarik perhatian berasaskan nafsu.
Berbeza dengan seksi dalam ertikata Islam iaitu menarik perhatian
seorang lelaki kepada perempuan itu dalam ertikata yang lebih meluas
meliputi maruah, ketaatan, kesungguhan memelihara aurat, memelihara
kecantikan untuk hanya yang berhak dan sebagainya.
Tiada bezanya tentang perempuan yang menutup aurat dan membuka aurat
dari segi fizikal. Mereka tetap berambut, bertangan, mempunyai mata yang
cantik, kulit yang tersendiri dan sebagainya. Kecantikan itu tetap
sama, sama ada mereka menutup atau membuka aurat. Tetapi nilai itu yang
membezakan mereka. Menutup aurat memang susah dan bukannya perkara
mudah. Jauh di sudut hati wanita menutup aurat itu, ingin menayangkan
kecantikan mereka kerana wanita seksi sering mendapat perhatian. Kerana
itulah melawan nafsu dan keadaan itu adalah susah. Kerana itulah juga
wanita menutup aurat itu sebenarnya melatih diri menjadi seorang yang
sabar, berpendirian, tabah, bermaruah dan tekun kerana kesungguhan
melaksanakan perintah Allah ini serta melawan kehendak nafsu sendiri dan
nafsu orang lain.
Allah itu Maha Bijaksana. Apabila seorang gadis terlalu cetek
pemikirannya mengeluarkan kenyataan sukar untuk menarik perhatian lelaki
sekiranya berselubung berbanding memperlihatkan sedikit kecantikan
wanita, maka mereka tidak dapat melihat, tarikan itu umpama gula yang
menjemput semut. Habis gula semut pun hilang.
Berkasih-kasihan adalah perkara yang datang dengan tanggungjawab.
Apabila tarikan yang diberi memperlihatkan tanggungjawab seorang wanita
memelihara kecantikan diri dan agama, maka umpan itu ikannya ialah
seorang lelaki yang mahukan pasangan yang bertanggungjawab menjaga
maruah dan kecantikan keluarga.
Menutup aurat hakikatnya adalah iklan terbaik bagi wanita untuk
memperoleh lelaki sedemikian rupa. Soal sikap adalah perkara kedua. Ada
yang mengatakan tidak semua wanita membuka aurat itu jahat. Itu adalah
hakikat yang benar.
Membuka aurat bukan menggambarkan seorang itu jahat kerana tidak
kurang wanita yang menutup aurat yang berhati busuk. Itu adalah soal
hati. Tetapi seorang wanita yang baik hati dan menutup aurat itu lebih
dipandang mulia kerana mempunyai pakej yang lebih lengkap.
Sepertimana makanan yang terhidang di atas meja tidak bertudung saji,
ada kemungkinan lalat datang menyinggah. Pada pandangan mata, mungkin
makanan itu telah dicemari lalat. Berbeza dari makanan yang bertudung
saji, akan memberikan lebih keyakinan kepada orang untuk menjamahnya.
Usahlah dibangkitkan persoalan adakah wanita menutup aurat itu semua
baik, kerana hakikatnya mereka telah membuat kebaikan dengan mentaati
perintah Allah.
Tanyalah diri, mengapa aku boleh berbuat baik kepada manusia tetapi
sukar untuk berbuat baik kepada Tuhan. Samalah juga jika kita melanggar
lampu merah di jalanraya.Bukan semua yang melanggar lampu itu jahat dan
bukan semua yang mengikut peraturan itu baik. Namun melanggar peraturan
itu tetap satu perkara yang salah. Wallahu'alam.