Search This Blog

Siapa alihkan beg?????

beg-adidas-3.jpg
 
Pernahkah anda mengalami peristiwa-peristiwa yang boleh dikatakan agak pelik.? Tetapi mungkin anda akan mengabaikan peristiwa itu bagi menyedapkan hati atau anda takut untuk memikirkan hal-hal yang mistik ini. Kisah yang akan saya ceritakan sebentar lagi adalah satu kisah yang benar-benar berlaku ke atas kawan saya.

Kisah ini berlaku kira-kira 3 tahun yang lepas. Ketika itu Roslan (bukan nama sebenar) terpaksa pulang ke kampung kerana emaknya telah dimasukkan ke hospital. Roslan tiba di hospital kira-kira jam 11 malam setelah meredah perjalanan yang jauh dari Kuala Lumpur.

Setelah melihat keadaan ibunya, Roslan meminta izin daripada ahli keluarganya yang lain untuk balik berehat kerana letih memandu. Perjalanan dari hospital ke rumah ibunya kira-kira 20 km. Ketika itu jam menunjukkan pukul 12.45 malam. Sambil ditemani lagu daripada siaran radio kegemarannya, Roslan menyalakan sebatang rokok dan terus memandu membelah kegelapan malam. Ketika itu jalanraya agak lengang mungkin kerana malam sudah agak larut. Sepanjang perjalanan, Roslan teringat kisah-kisah seram yang berlaku di jalan yang ditempuhinya ini. Tapi kerana keletihan yang amat sangat, Roslan teruskan juga perjalanan dan berharap tiada kejadian yang menyeramkan berlaku ke atas dirinya.

Ketika kereta Roslan merentasi satu kawasan bukit yang  terkenal dengan peristiwa-peristiwa ganjilnya, tiba-tiba meremang bulu romanya. Menurut kata orang-orang tua, bila bulu roma  meremang maknanya ada sesuatu makhluk halus yang menghampiri kita.
 
Roslan tenang menghadapi kejadian itu sambil berdoa agar  dijauhkan daripada gangguan-gangguan tersebut. Kawasan bukit itu semakin jauh ditinggalkan dan Roslan bersyukur kerana tiada perkara ganjil yang menimpa dirinya. Tetapi Roslan tersilap, kejadian sebentar tadi merupakan permulaan bagi kejadian yang tak mungkin dilupakan bagi dirinya.

Roslan selamat tiba di rumah ibunya kira-kira jam 1.05 pagi. Rumah ibunya kosong kerana semua ahli keluarganya menemani ibunya di hospital. Roslan keluar daripada kereta dan memerhatikan keadaan sekeliling yang agak gelap. Roslan mencari kunci yang ditinggalkan bapanya di bawah alas kaki. Sambil teraba-raba, Roslan mendengar bunyi sesuatu berjalan di atas bumbung.

"Ah, mungkin kucing agaknya." bisik Roslan di dalam hati.

Roslan membuka pintu dan menghidupkan lampu. Roslan kemudian pergi semula ke keretanya dan mengambil beg pakaian yang diletakkan di dalam bonet kereta. Tanpa berlengah-lengah Roslan masuk ke dalam rumah dan meletakkan begnya di dalam bilik.

Maka bermulalah kejadian ganjil ke atas diri Roslan. Setelah meletakkan begnya didalam bilik, Roslan ke dapur untuk mendapatkan segelas air. Ketika kembali dari dapur, Roslan dapati beg pakaiannya berada di depan pintu bilik.

"Eh, macammana beg ni ada kat pintu pulak.?" Roslan kehairanan.

" Hmm...mungkin aku terlupa nak masukkan kat dalam bilik."

Roslan mengangkat semula beg tersebut kedalam bilik dan mengeluarkan kain pelikat yang dibawanya. Kemudian dia terus ke bilik air untuk mencuci muka. Bila selesai Roslan terus kebilik dan alangkah terkejutnya kerana didapati beg pakaiannya telah berada diatas meja diruang tamu pula. "Ish..tak boleh jadi ni." Roslan segera mengangkat semula begnya dan meletakkannya di dalam almari bilik. Kemudian Roslan berbaring di atas katil sambil memikirkan kejadian sebentar tadi.

Tiba-tiba Roslan teringat yang dia hendak mengecas semula telefon bimbitnya. Dia bergegas ke almari beg nya untuk mengeluarkan 'charger' telefon  bimbitnya. "Haaa...???! !!" Roslan panik seketika kerana didapati begnya tiada didalam almari. Roslan bergegas keluar dan  mendapati begnya berada di atas sofa rumahnya dengan 'charger' nya terletak diatas meja. Tanpa berlengah-lengah lagi dengan  baki-baki semangat yang masih ada, Roslan melaungkan azan sekuat hati dan serentak dengan itu Roslan mendengar bunyi sesuatu berlari di dalam rumah dan melanggar dinding dapurnya.
 
Kemudian disusuli bunyi ketawa yang semakin hilang. Tubuh Roslan mengigil seketika kerana tidak menyangka kejadian seperti ini berlaku keatas dirinya. Kemudian dia mengambil begnya semula lalu bawa ke dalam bilik dan diletakkan di sebelahnya. Roslan tidak dapat melelapkan mata kerana kejadian sebentar tadi.

Roslan  masih memikirkan apakah yang mengganggunya sebentar tadi. Dari manakah datangnya 'benda' itu. Sehingga kini persoalan itu  masih belum terjawab.... .
 

Bahaya Demam Malam

fever-child.gif
 
 
Kanak-kanak alami suhu tinggi berterusan, muntah mungkin petanda masalah kesihatan serius.

ADAKAH anak anda sering demam? Hakikatnya, demam pada waktu malam atau siang sebenarnya sama saja. Bezanya, ibu bapa beranggapan demam malam lebih serius, apatah lagi jika anak merengek dan ibu bapa tidak dapat tidur yang mencukupi.

Demam sebenarnya reaksi tubuh kepada jangkitan virus atau bakteria. Bagaimanapun, bukan semua demam memerlukan ubat.

Jika kanak-kanak itu aktif, masih makan dan minum susu, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Dalam masa tiga ke lima hari demamnya akan kebah.

Namun, jika demam disertai dengan muntah, cirit birit, sakit kepala atau lesu, tidak mahu makan dan tidak aktif, ini petanda anak anda memerlukan rawatan segera. Demam yang dialami mungkin menjadi petanda kepada masalah kesihatan lebih serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Pakar Runding Kanak-Kanak Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Dr Azam Mohd Noor, berkata walaupun demam malam ada kalanya simptom masalah perubatan yang lebih serius seperti limfoma dan leukemia, namun pola demam itu berbeza. Antaranya demam berterusan tanpa mengira siang atau malam.

“Demam juga tidak mengancam nyawa kecuali darjah kepanasannya sungguh tinggi. Pada waktu itulah demam mungkin menjadi petanda masalah lain yang lebih serius.

“Namun, demam sebagai gejala penyakit misalnya tibi, leukemia dan limfoma memiliki pola tertentu dan demam bukan hanya terjadi pada waktu malam saja tetapi waktu siang juga,” katanya.

Kata Dr Azam, demam umumnya sebagai reaksi tubuh kepada jangkitan. Bahagian dalam otak yang disebut hypothalamus mengawal suhu badan. Hypothalamus meningkatkan suhu badan sebagai cara melawan jangkitan. Suhu badan yang meningkat menyebabkan organisma asing yang masuk ke badan tidak boleh bertahan.

“Sekarang ini ramai ibu bapa yang berpendapat demam bagus kerana ia tanda tubuh melawan penyakit. Namun jika suhu badan terlalu panas, kanak-kanak berasa tidak selesa,” katanya.

Dalam keadaan ini katanya, ubat diberi untuk membantu mengurangkan panas demam tetapi masalah demam itu sendiri tidak akan selesai. Biasanya ubat demam diberi apabila panas tubuh mencecah hingga 38.5 darjah ke atas.

Demam dengan suhu tinggi juga membimbangkan kerana bagi sesetengah kanak-kanak ia boleh menyebabkan sawan walaupun demam bukanlah penyakit yang serius. Namun demam yang berulang-ulang disertai dengan muntah, cirit birit perlu diberi perhatian.

“Walaupun demam itu secara fisiologinya reaksi pada jangkitan tetapi jika wujud simptom lain ia mungkin komplikasi masalah kesihatan yang lain.

“Malah perlu diingat, suhu panas badan yang melampau juga boleh mengundang padah termasuk kemungkinan menyebabkan sawan dan kerosakan otak,” katanya.

Mengapa demam?

1) Jangkitan virus adalah punca paling biasa untuk banyak masalah kesihatan misalnya batuk, selesema, cirit-birit dan sebagainya. Ada kala jangkitan virus boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius.

2) Jangkitan bakteria tidak begitu kerap menjadi punca demam. Bakteria selalunya menjadi punca masalah yang lebih serius misalnya pneumonia, masalah ginjal atau meningitis.

Apa boleh dibuat jika suhu badan terlalu panas?

1. Selain ubat demam biasa yang diperoleh dari klinik, paracetamol yang mudah didapati di pasaran juga boleh membantu menurunkan suhu badan.

2. Mandikan atau lap dengan kain basah. Namun berhati-hati kerana ada kalanya memandikan anak ketika dia demam tidak begitu sesuai kerana suhu badan turun mendadak. Ia akan menyebabkan masalah hipertorma (kesejukan kerana hilang suhu mendadak). Sebaiknya guna air suam, lap dan keringkan terus. Namun, demam yang berterusan lima hari membimbangkan kerana ia mungkin boleh dikaitkan dengan masalah lain seperti RA (rhemutoid arthritis) atau penyakit auto imun.

INFO: Demam yang memerlukan rawatan serius

* Kelenjar leher bengkak
* Mata merah
* Tidak fokus
* Ruam
* Muntah
* Pening kepala
* Menangis/merengek
* Sensitif pada cahaya
* Tidak boleh bergerak disebabkan badan sakit
 

Nak Hilangkan Batuk ...

Apabila batuk kita pasti merasa kurang selesa lebih-lebih lagi jika ketika itu kita bersama seseorang atau berada di dalam bilik mesyuarat.

Orang lain sudah pasti akan meleretkan matanya melihat kita yang sedang batuk. Secara tradisionalnya terdapat beberapa cara untuk mengurangkan dan seterusnya menghilangkan batuk.

Berikut adalah di antara petua untuk mengurangkan batuk;

* Rendamkan sedikit kerak nasi dalam air suam. Apabila telah kembang, minum airnya pada setiap pagi

* Rebus beberapa biji pisang masak. Setelah lembik, campurkan santan secukupnya, sedikit garam dan perasa vanila. Kacau rata dan diminum airnya.

* Tumbuk segenggam daun pegaga hingga lumat dan tapis untuk mendapatkan airnya yang pekat. Campurkan dengan gula dan embunkan selama satu malam. Air itu hendaklah diminum dua kali dalam seminggu.

* Campurkan dua sudu teh madu lebah asli dengan air suam. Kacau sehingga sebati dan minum air tersebut tiga kali sehari.

* Ambil dua sudu nasi panas yang baru masak. Masukkan nasi itu ke dalam cawan dan campurkan sedikit air. Embunkan nasi tersebut selama semalaman dan minum airnya pada esok paginya.

* Ambil sebiji limau sunkist dan buatkan lubang berbentuk pangkah di bahagian tengahnya. Masukkan gula batu di lubang tersebut. Letakkan limau tersebut di dalam periuk di tengah-tengah nasi yang telah kering dan tutup periuk tersebut. Setelah nasi itu masak, ambil buah limau tadi dan makan sambil didahului dengan selawat. Ulang setiap kali memasak nasi sehingga sembuh. Selain melegakan batuk, nasi akan berbau harum.

* Perah 1/3 limau nipis dalam segelas kecil air suam dan campurkan dengan 3 sudu teh madu. Minum campuran ini setiap pagi sebelum sarapan. Amalkan sehingga batuk hilang.