SEMEMANGNYA hidup ini banyak cabaran, banyak dugaan dan penuh dengan liku-liku dan ranjau yang harus dilalui dan dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketenangan.
Cabaran dan dugaan itu bermacam-macam bentuk, ada berbentuk kesusahan, kesengsaraan dan ada pula berbentuk kesenangan dan kegembiraan.
Jika kesenangan yang diperolehi, gembiralah hati kita dan jika kesusahan yang menimpa, maka akan kecewalah dan marahlah kita.
Sifat marah adalah suatu sifat yang tetap ada pada diri seseorang, tinggal lagi hendaklah kena pada tempatnya, bukan mengikut perasaan dan hawa nafsu.
Bagi orang Islam yang beriman, sifat sabar adalah menjadi perisai dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan dan sentiasa reda dengan takdir Allah SWT bahkan insaf terhadap-Nya.
Ini kerana mereka sedar sifat marah itu amat dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya sehingga Rasulullah SAW banyak berpesan supaya jangan bersifat marah.
Ia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a bahawa ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Berpesanlah kepadaku, lalu baginda bersabda : Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka baginda masih tetap bersabda : Jangan marah. (riwayat Bukhari).
Memanglah benar bahawa perkara-perkara yang menyebabkan timbulnya kemarahan itu amat banyak khususnya cabaran-cabaran masa kini yang ditambah pula dengan kerenah-kerenah manusia itu sendiri.
Sebenarnya sifat marah itu tidak menjadi kesalahan jika kena pada tempatnya dan dengan tujuan yang baik iaitu untuk menyedarkan orang yang melanggar perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.
Tetapi yang sebaik-baiknya, elakkanlah dari berlaku perkara sedemikian, kerana marah boleh menimbulkan keburukan dan permusuhan, bukan saja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri.
Oleh itu agama Islam telah mengajar kita bahawa jika kita marah, maka lekas-lekaslah kita mengambil wuduk supaya kita merasa tenang dan tenteram. Di samping itu, kita hendaklah bersifat sabar dan mudah memberi maaf kepada orang yang melakukan kesalahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji dan apabila mereka marah disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka, mereka memaafkannya. (asy-Syuura: 37)
Rasulullah SAW bersabda: “Dari ‘Atiah r.a, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api dan sesungguhnya api itu terpadam dengan air, maka apabila salah seorang dari kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk (riwayat Abu Daud).”
Menjauhkan diri dari bersifat marah itu mempunyai banyak hikmah antaranya boleh mengelakkan berlakunya sifat dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan tidak baik terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang tidak baik.
Kedua, supaya kita akan dapat mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW seperti bersopan santun dan bersedia memaafkan orang yang bersalah. Sikap sedemikian boleh menimbulkan perasaan kasih sayang dan kemesraan.
Oleh itu, kita harus memahami bahawa orang yang dapat mengawal dirinya dari bersifat marah akan mendapat balasan syurga.
Ini dijelaskan seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Abi Ad-darda dia berkata, wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya sesuatu amalan yang boleh menyebabkan saya dapat masuk syurga. Rasulullah SAW bersabda: Jangan marah nescaya engkau akan dapat masuk syurga (riwayat At-Tabrani).”
Islam mahukan umatnya bersatu padu, hidup bersaudara, berkasih sayang, mengelakkan perpecahan dan permusuhan yang boleh membawa kepada kehancuran umat Islam.
Maka bagi mengelakkan semua itu, Islam menganjurkan kita supaya jangan bersifat marah. Mudah-mudahan dengan demikian umat Islam akan bersatu padu dan menjadi umat yang kuat dan berpegang teguh dengan ajaran Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amalan-amalan yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (ali-’Imran: 133-134)