Search This Blog

Batu Karang


Zaman berubah, tetapi ada nasihat orang tua dulu-dulu yang masih berguna. Antaranya ialah jangan suka menahan kencing kerana ia boleh menyebabkan batu karang. Walaupun tiada bukti saintifik yang boleh menyokongnya, ia tidak boleh dipandang ringan kerana nasihat ini banyak manfaatnya.


Secara logiknya, apabila seseorang cuba menahan kencing, dia akan kurang minum. Jika kurang minum, air kencing menjadi pekat dan mengandungi banyak bahan yang boleh membentuk batu karang.

Masalah ini lebih ketara bagi penduduk negara yang panas seperti Malaysia, bekerja dalam persekitaran panas atau bersenam keterlaluan dan kurang minum menggantikan semula air yang hilang.


Buah Pinggang


Batu karang terbentuk dalam buah pinggang. Di buah pinggang inilah berlakunya proses penapisan darah bagi menyingkirkan bahan yang tidak diperlukan badan melalui air kencing dan najis.

Daripada buah pinggang, air kencing dipindahkan ke pundi kencing melalui saluran ureter. Di sinilah air kencing disimpan sehingga ia dibuang daripada badan. Batu karang terbentuk apabila air kencing mengandungi banyak bahan, terutama kalsium, oksalat, asid urik dan sistein atau kekurangan bahan yang bertugas membantu mencegah pembentukan kristal seperti sitrat dan magnesium.

Kehadiran batu karang boleh menjadi petanda buah pinggang mula mengalami kerosakan. Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera supaya kerosakan buah pinggang dapat diperlahankan dan disusuli dengan penjagaan pemakanan serta mula bersenam bagi mengelakkan pembentukan batu karang berulang.


Sakit Pada Tepi Perut


Biasanya batu karang menyebabkan rasa yang sangat sakit pada bahagian tepi perut. Bagaimanapun, ia tidak berlaku pada semua orang. Ada juga pesakit batu karang yang tidak mengalami tanda dan masalah mereka dikesan secara tidak sengaja iaitu apabila menjalani pemeriksaan kesihatan bagi tujuan lain.

Banyak punca boleh menyebabkan pembentukan batu karang, tetapi faktor utamanya ialah tabiat pemakanan dan kurang minum air. Batu karang biasanya terbentuk apabila air kencing menjadi terlalu pekat.

Ini menyebabkan mineral dalam air kencing termendak dan mula membentuk kristal. Lama kelamaan, kristal ini bergabung dan membentuk seketul batu yang keras.

Batu karang yang kecil boleh masuk ke pundi kencing tanpa mengakibatkan kerosakan. Pergerakan batu karang ini menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang atau sisi di bawah tulang rusuk. Kesakitan akibat batu karang lebih memuncak apabila batu ini pecah dan terhenti bergerak.

Banyak faktor boleh mempengaruhi perubahan air kencing kita seperti keturunan, pemakanan, ubat, cuaca, gaya hidup dan masalah kesihatan. Semuanya memberi sumbangan tertentu kepada pembentukan batu karang.


Faktor Risiko

Banyak faktor boleh menyumbang kepada pembentukan batu karang, antaranya :

* Kurang air — Jika tidak cukup minum, terutama air masak, air kencing menjadi lebih pekat. Ini sebabnya individu yang kurang minum air lebih mudah mengalami masalah batu karang.

* Sejarah keluarga atau sendiri — Masalah batu karang juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan. Orang yang ada sejarah keluarga mempunyai batu karang berisiko mengalami masalah sama. Malah, individu yang pernah mendapat batu karang juga perlu lebih berhati-hati kerana masalah ini boleh berulang.

* Umur — kebanyakan kes berlaku di kalangan umur 20 hingga 70 tahun.

* Jantina — Lelaki lebih mudah mengalami masalah batu karang berbanding wanita.

* Penyakit tertentu — Penyakit yang diwarisi seperti sistinuria (masalah penyerapan dan metabolisme asid amino menyebabkan asid amino sisteina terkumpul dalam darah dan membentuk batu karang). Bahkan, individu yang ada penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi juga berisiko mengalami batu karang. Selain itu, individu yang mengalami masalah hiperurisemia (kepekatan asid urik yang tinggi dalam darah) juga dinasihatkan lebih peka menjaga kesihatan.

* Kesan sampingan ubat — Sesetengah ubat, contohnya ubat diuretik, boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang dalam keadaan tertentu.

* Pemakanan — Pemakanan yang tinggi kandungan protein purin dan asid urik seperti organ dalaman (hati, jantung, limpa), daging merah, makanan laut bercangkerang (kerang, tiram) dan alkohol boleh meninggikan risiko mendapat batu karang. Pada masa sama, diet kurang serat (buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin) menyumbang kepada masalah ini.

* Kurang bergerak — Individu yang kurang bergerak, jarang bersenam atau lama terlantar lebih berisiko tinggi. Ini kerana aktiviti fizikal yang terhad menyebabkan tulang mengeluarkan lebih kalsium ke dalam darah.


Pencegahan

Masalah batu karang boleh dielakkan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan minum banyak air. Pesakit yang pernah mengalami masalah ini dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan yang kaya asid urik atau purin.

Batu karang adalah masalah kesihatan yang boleh dicegah dengan melakukan sedikit perubahan gaya hidup. Selain itu setiap orang juga disaran menjalani 3 ujian mudah, iaitu ujian air kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah bagi memastikan buah pinggang dalam keadaan normal.

Ini kerana melalui tiga ujian berkenaan, perubahan fungsi atau kerosakan buah pinggang dapat dikesan pada peringkat awal dan boleh dirawat segera.

Jenis

Batu karang ada empat jenis yang ditentukan bahan atau puncanya iaitu:

# Batu kalsium — Jenis paling lazim. Batu kalsium biasanya membabitkan 2 bahan, iaitu kalsium dan oksalat.

# Batu struvite — Berlaku lebih kerap pada wanita berbanding lelaki. Ia biasanya disebabkan jangkitan salur kencing kronik oleh bakteria yang menghasilkan enzim tertentu. Enzim ini meningkatkan kandungan ammonia dalam air kencing sehingga membentuk kristal struvite.

# Batu asid urik — Batu ini terbentuk daripada asid urik, iaitu hasil sampingan daripada metabolisma protein.

# Batu sistein — Pembentukan batu karang jenis ini jarang berlaku. Ia biasanya berlaku di kalangan individu yang ada masalah genetik yang menyebabkan buah pinggang menghasilkan berlebihan asid amino tertentu.


Gejala

Sakit pada bahagian belakang badan dan sisi di bawah tulang rusuk. Bagaimanapun bukan semua kes mempunyai gejala, kecuali jika batu karang berkenaan besar sehingga menyekat saluran tertentu dan menyebabkan jangkitan. Rasa sakit ini datang dan pergi dalam masa antara 5 hingga 15 minit.

* Apabila batu karang ini berpindah dari buah pinggang ke pundi kencing melalui tiub yang dipanggil ureter, pesakit mengalami rasa sakit pada abdomen bawah. Kesakitan ini terhenti apabila batu karang berhenti bergerak.

* Air kencing berdarah.

* Air kencing keruh dan berbau busuk.

* Mual dan muntah.

* Sentiasa terasa hendak kencing.

* Demam dan menggigil (jika ada jangkitan).

Berlembutlah dengan isteri

 
Katakanlah pada sisuami bahawa isteri itu adalah ladangnya. Jagalah amanah Allah tersebut agar ladang tersebut dapat membuahkan hasil yang subur dan berbau harum. Ameen.
 
Dalam kehidupan berumahtangga sudah tentu tidak dapat dielakkan perselisihan faham antara suami-isteri. Sama ada ia berpunca dari suami atau pihak isteri. Namun apa yang penting ialah bagaimana mereka menghadapinya serta menyelesaikan masalah yang menimpa mereka.
 
Sesetengah suami apabila mendapati isterinya marah-marah, terus tinggalkan isteri tanpa menyelidik apa punca sebenar. Kadang-kadang sampai berhari-hari tidak pulang kerana runsing dengan karenah isteri yang suka mengamuk dan membebel. Tidak kurang juga yang mencari hiburan luar, semata-mata untuk menenangkan fikiran yang runsing itu. Malah ada yang bermain kayu tiga kononnya isteri di rumah tidak pandai melayan, hanya suka marah-marah sahaja.
http://cikgunurul.files.wordpress.com/2007/11/340140105l.jpg
Kalau begini tindakan yang diambil, sebenarnya ia bukan menyelesaikan masalah, tetapi menambah masalah. Suami adalah pemimpin dan guru kepada isterinya. Suami tidak seharusnya hanya mengeluh dan menyalahkan isteri semata-mata tanpa mendidiknya terlebih dahulu.
 
Sebagai suami, di samping tugasnya mencari nafkah untuk seisi keluarga, dia juga wajib mendidik isteri serta anak-anaknya. Dan proses mendidik ini bukan cukup hanya sekali dua dinasihati, tetapi ia memakan masa yang lama.
 
Pada saat suami yang sedang marah-marah, janganlah dihadapi isteri dalam keadaan marah-marah juga. Lebih-lebih lagi jangan menghadapinya dengan kasar, keras atau menghukumnya. Sebab wanita itu lemah, dijadikan daripada tulang rusuk yang bengkok, kalau dikasari ia akan terus bengkok dan mungkin patah.
 
Rasulullah SAW bersabda : “Hendaklah kamu berlaku dan berbicara baik-baik dengan wanita, kerana mereka diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok ialah yang berada di bahagian atas. Jika kamu meluruskannya ia akan patah dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok. Kerana itu hendaklah kamu berlaku dan berbicara sebaik-baik dengan wanita”

Harapan Ramadhan


Aku suka dengar lagu nih ... Suka, ... syahdu jer ...
Juga memberi semangat ...

Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Raihan