Sedikit info unuk kengkawan .... Nauzubillah ...
Mati Bersalin Akibat Embolisme Paru-paru
oleh Prof. Madya Dr. Azarisman Shah Mohd Shah
Seorang wanita bersalin anak kelima dan cukup bulan tanpa sebarang komplikasi. Namun, ketika pemantauan rutin kira-kira empat jam kemudian, jururawat menemuinya dalam keadaan tidak bermaya, pucat dan sesak nafas.
Pemeriksaan awal tidak menunjukkan sebarang tanda pendarahan nifas yang berlebihan atau manifestasi penyakit jantung dan paru-paru yang jelas. Kajian ultrasound jantung atau echocardiography mendapati bahagian kanan jantung membengkak dan tidak berdenyut dengan baik - petanda saluran darah ke paru-paru sudah tertutup berikutan peralihan gumpalan darah beku dari kaki ke paru-paru.
Inilah kesan masalah embolisme paru-paru akut yang menjadi cabaran getir bagi setiap pengamal perubatan yang mengendalikan wanita mengandung dan baru bersalin. Di Malaysia, kajian menunjukkan lebih kurang 15% kes kematian ibu mengandung atau yang baru bersalin, disebabkan masalah itu.
Punca
Ia disebabkan oleh 2 punca iaitu pertama, gumpalan darah beku atau 'deep vein thrombosis' yang terbentuk di betis atau pinggul wanita yang mengandung akibat kurangnya kelancaran darah menerusi betis dan pinggul wanita berikutan tekanan kandungan dibawanya. Risiko ibu mengandung mengalami penyakit ini adalah 4 kali ganda berbanding wanita biasa dan risiko ia berlaku selepas bersalin adalah 5 kali ganda berbanding sebelum bersalin yang mana separuh kes dilaporkan berlaku melahirkan anak.
Kedua, air ketuban yang memasuki saluran darah ibu ketika bersalin atau 'amniotic fluid embolisme'. Ia tidak menyebabkan saluran darah tersumbat secara mutlak seperti di atas sebaliknya reaksi anafilaksis yang menjadikan saluran paru-paru menyempit dan akhirnya tertutup. Kadar kematian akibatnya amat tinggi dan sehingga kini, cara merawatnya masih belum dapat dikenal pasti.
Dua punca itu mempamerkan manifestasi klinikal yang sama iaitu, wanita berkenaan mengalami sesak nafas, tekanan darah merudum, kadar nadi meningkat drastik, pucat, tidak bermaya atau tidak sedarkan diri.
Justeru, mereka yang mengiringi wanita itu seperti suami, perlu prihatin dan mengamati keadaan isteri ketika bersalin dan selepas bersalin. Jika ia berlaku, wajarlah jururawat atau doktor dimaklumkan secepat mungkin bagi rawatan segera. Andai berlaku di rumah, pastikan bantuan pernafasan dan tekanan dada cardio-pulmonary resuscitation atau CPR didahulukan sementara menunggu bantuan ambulans.
Faktor Risiko
Bagi wanita tidak mengandung, pengambilan pil perancang keluarga adalah faktor utama yang boleh menyebabkan masalah ini. Selain itu, merokok, berat badan berlebihan, penyakit kronik lain seperti kanser atau keadaan yang mana kurangnya pergerakan fizikal berpanjangan seperti patah tulang kaki atau pinggul, duduk terlalu lama dalam kapal terbang - semuanya boleh menambah risiko gumpalan darah di kaki.
Bagi ibu mengandung, faktor seperti umur, bilangan kehamilan yang ramai, kandungan kembar atau kehadiran penyakit lain seperti penyakit jantung akan menambah risiko.
Rawatan
Kaedah rawatan penyakit ini bergantung kepada puncanya. Jika disebabkan gumpalan darah beku, maka pesakit perlulah dirawat dengan cara 'fibrinolysis' iaitu menghancurkan gumpalan darah berkenaan. Tahap kejayaan menggunakan kaedah rawatan ini adalah amat tinggi tetapi perlu disusuli ubat untuk mencairkan darah bagi mengelakkan ia berulang.
Ubat seperti heparin dan warfarin perlulah diambil sekurang-kurangnya 3 bulan selepas bersalin dan tanpa henti.
Jika disebabkan air ketuban, maka pesakit perlu diberi bantuan pernafasan ventilasi dan ubat untuk menyokong tekanan darah optimum. Seperti yang disebut, kadar kematian disebabkan oleh punca ini adalah 80% dan usaha menemui cara rawatan terbaik masih lagi diteruskan.