Search This Blog

Sultan Muhammad V Yang di-Pertuan Agong ke-15

Sultan kesayangan rakyat Kelantan telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15


Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 untuk tempoh lima tahun bermula 13 Disember ini. 

Sementara itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama.

Pemilihan tersebut dilakukan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242, yang berlangsung di Istana Negara hari ini.

Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 yang disandang Tuanku Abdul Halim berkuat kuasa 13 Disember 2011, akan tamat tempoh perkhidmatan pada 12 Disember ini.

Berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.


Raja Berjiwa Rakyat

Tengku Muhammad Faris Petra, 47, putera sulung Sultan Ismail Petra menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat serta berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Baginda tidak kekok duduk bersila bersama rakyat semasa mengadakan lawatan ke kampung-kampung, malah amat mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam dan di luar pengetahuan media, menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) gemar membaca serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak. Baginda juga meminati sukan memanah, boling serta memelihara haiwan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, 37, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 33, dan Tengku Amalin Aishah Putri, 27. 

Sumber :- www.astroawani.com

1 comment:

  1. Mudah-mudahan ada perubahan dalam pentadbiran sbg negara Islam..

    ReplyDelete