Search This Blog

TAZKIRAH JUMAAT #17 : RUMAH ALLAH


"Kenapa orang Islam sembah bangunan kain hitam tu?"

"Oh.... itu Kaabah atau nama lainnya Baitullah"

"Baitullah tu apa?" ...

"Secara terjemahan mudah maknanya Rumah Allah"

"Allah ada dalam tu?"

"Tak....."

"Jadi, kenapa sembah bangunan tu kalau Allah tak ada dalam tu?"

"Yang saya sembah bukannya bangunan tu.."

"Kamu sembah apa?"

"Saya sembah Allah swt"

"Jadi, kenapa sembah bangunan tu?"

"Saya MENGHADAP sahaja ke arah Kaabah tetapi saya tak sembah Kaabah.."

"Bukankah kamu sujud ke arah Kaabah, maknanya kamu sembah Kaabah la.."

"Kamu pernah tgk perlawanan bola dalam TV?"

"Pernah...... selalu.."

"Kamu tengok tv ke tengok perlawanan bola?"

"Tengok perlawanan bola la.."

"Di mana?"

"Dalam tv la.."

"Cuba buka tv tu, tengok di dalamnya ada stadium dan perlawanan bola ke tak.."

"Memanglah tak ada.. tapi itukan gambarnya ada.."

"Bukalah dalam tv, tengok ada ke tak gambar perlawanan bola dalam tu.."

"So..?"

"Maknanya kamu tengok tv, bukan perlawanan bola.. betul tak?"

"Tak.. aku tengok perlawanan bola la melaui tv tu.."

"Peliknya.."

"Sebab apa pulak pelik?"

"Ye la, kau cakap tengok perlawanan bola, sedangkan aku tengok dalam tv tu tak ada apa-apa.. yg ada hanya wayar je berselirat.."

"Memanglah dalam tv tu ada banyak wayar, tapi tv tu menayangkan gambar-gambar perlawanan bola dalamnya.."

"Hurm.. jadi tak peliklah ni..?"

"Ya.. tak pelik.."

"Jadi tak pelik jugalah aku sujud ke arah Kaabah untuk menyembah Allah swt. walau pun dalam Kaabah tak ada Allah.."

*********

Kaabah merupakan kiblat bagi manusia di bumi ini. Bangunan yang berbentuk kubus berukuran 12 x 10 x 15 meter ini juga disebut dengan nama Baitullah dan Baitul Ateeq iaitu bermakna paling awal dan lama. Ia juga bermakna bebas dan merdeka. Ia juga melambangkan kesatuan manusia dan perpaduan ummah. Hakikat sebenarnya, orang Islam tidak menyembah kaabah, sedangkan kaabah sendiri adalah makhluk Allah S.W.T. Orang Islam menyembah Allah S.W.T yang Maha Esa. Orang Islam diperintahkan untuk menghadapkan dirinya kepada kaabah bagi menunjukkan perpaduan dan kekuatan.

Kaabah yakni rumah Allah adalah kiblat di mana seluruh umat Islam menghadapnya ketika menunaikan solat. Diriwayatkan bahawa Allah telah menjadikan tapak Kaabah itu disokong dengan empat tiang daripada air 2000 tahun sebelum Dia menciptakan dunia ini dan Dia telah membentangkan bumi dari bawah Kaabah. Tiang Kaabah itu panjangnya sehingga lapisan bumi yang ke tujuh.

Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah. Mematuhi perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh itu. Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota Mekah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

PADA keseluruhannya Kaabah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al Tabrani meriwayatkan di dalam al-Mu`jam al-Kabir daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menyatakan: “Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah, setiap hari 60 untuk orang yang melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya.”

Hajarul Aswad
Hajarul Aswad adalah sepotong batu yang berasal dari syurga. Warna asalnya adalah lebih putih daripada susu. Dikatakan ia menjadi hitam kerana luruhnya dosa manusia yang mengucupnya. Pelbagai peristiwa sejarah dilalui oleh Hajarul Aswad. Hinggalah ke hari ini yang masih tinggal daripada Hajarul Aswad adalah sebanyak lapan kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin yang dicampur kasturi di dalam lingkungan perak. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan itu.
Semoga info ini berguna untuk kengkawan ... Amat berharap dapat mengunjungi Rumah Allah ini ... Insyaallah ...

4 comments: