Search This Blog

Pemilihan Nama Anak ...

HAK memberikan nama anak adalah tanggungjawab ibu bapa dan pastinya mereka ingin memberi nama yang mempunyai maksud baik mengikut lunas agama. Oleh itu, jika pihak lain seperti datuk atau nenek ada memberi cadangan, jangan berkecil hati andai cadangan tidak diterima.

Tidak dinafikan, memberikan nama anak ada kalanya menimbulkan dilema kepada ibu bapa kerana dalam mencari nama yang sesuai ada kalanya penekanan diberi kepada makna, sementara ada pula mementingkan nama tetapi bukan maknanya.

Justeru, berlakulah nama anak yang bunyinya memang sedap tetapi apabila disemak, membawa maksud tidak baik atau tidak mempunyai makna. Sedangkan, apabila nama disebut, ia sebahagian daripada doa.
Firman Allah bermaksud: "Allah memiliki nama yang baik lagi indah, maka berdoalah dengannya." (Surah al-A'raf, ayat 180)

Diriwayatkan daripada Ibnu
Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah Azza wa Jalla ialah Abdullah dan Abd Rahman." (Hadis sahih Muslim)

Menurut
sunnah Rasulullah SAW, kita disaran memberi nama, mengadakan kenduri akikah, mencukur keseluruhan kepala dan mentahnik anak pada hari ketujuh selepas kelahiran. Menjadi kewajipan ibu bapa memilih nama membawa makna baik untuk anak mereka.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka gunalah nama yang baik."

Ibu bapa juga hendaklah menetapkan niat memilih nama anak kerana Allah, bukan untuk menunjuk-nunjuk selain memelihara sunnah Nabi SAW memberi identiti yang baik kepada bayi baru dilahirkan.

Andainya tidak mahir, dinasihatkan bertanya kepada mereka yang arif dalam
bahasa Arab bagi mendapatkan kepastian mengenai kesesuaian gabungan nama (jika lebih daripada satu) supaya terpelihara maksudnya.
Contoh gabungan nama yang sesuai seperti Amirul Muttaqin yang bermakna ketua orang bertakwa. Jika memilih salah satu nama Allah, hendaklah menambah perkataan `Abdul' yang bermaksud hamba.

Elakkan memilih nama yang tidak mempunyai maksud atau tiada kaitan dengan Islam dan jangan memberi nama terlalu panjang. Kita dapati
masyarakat Malaysia cenderung memberikan nama yang panjang sehingga seorang kanak-kanak memiliki tiga nama.

Bayangkan berapa lama masa akan diambil anak itu untuk mengisi borang sepanjang hidup mereka. Segala urusan anak menjadi lewat angkara ibu bapa atau mereka yang ghairah memberikan nama anak tanpa memikirkan risikonya.


Pastikan juga nama panggilan mempunyai maksud kerana ada anak diberi nama dengan maksud yang indah tetapi dipanggil setiap hari dengan nama yang tiada makna atau lari maksud baiknya.


Begitu juga dengan nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan seperti biasa berlaku anak lelaki diberi nama Iman kerana nama itu sesuai untuk anak perempuan manakala bagi anak lelaki ialah Ayman.


Kita pasti tidak mahu anak merasa malu atau menjadi bahan ejekan hanya kerana nama lalu menyalahkan ibu bapa. Oleh itu, sentiasa berhati-hati apabila hendak memberi nama kepada bayi baru dilahirkan, jangan terburu-buru dan dapatkan pandangan pihak yang arif.

No comments:

Post a Comment