APABILA usia mencecah empat tahun, kanak-anak patut diajar tidur berasingan daripada ibu bapa. Apatah lagi dalam masyarakat kita terutama orang Melayu yang memegang kuat kepada adab nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Namun terdapat juga kanak-kanak yang dibiarkan tidur dengan ibu bapa sehingga mereka besar, maksudnya apabila mereka telah faham dan boleh bercakap dengan baik.
Apabila sampai masa mereka diarah untuk tidur berasingan, kanak-kanak ini pasti akan membantah, menolak dan menangis.
Perkara ini berlaku kerana mereka belum biasa untuk berbuat demikian, masih bergantung harap dengan ibu bapa dan tidak berani atau takut untuk tidur bersendirian.
Pensyarah Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak, Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mariani Mansor, berkata, usaha mengasuh anak-anak untuk tidur berasingan ialah tugasan yang perlu dilakukan secara berterusan oleh ibu bapa.
Menurutnya, anak-anak tidak boleh dipaksa dalam satu masa yang singkat untuk tidur berasingan.
Jika ini dilakukan, timbul perasaan marah anak-anak kepada ibu bapa, mereka merasa seolah-olah ibu bapa tidak menyayangi mereka lagi.
Keadaan ini juga akan menimbulkan tekanan kepada mereka dan menjadikan anak-anak ini seorang yang sensitif atau membentuk personaliti yang tidak memberangsangkan.
Malah mereka boleh mengigau dan menangis di tengah malam, mengalami mimpi yang menakutkan, mata tidak mahu lelap dan sebagainya sehingga akhirnya boleh menimbulkan masalah kesihatan kepada mereka.
``Anak-anak amat sensitif. Mereka pasti tidak memahami mengapa secara tiba-tiba disuruh tidur berasingan sedangkan sejak sekian lama, mereka dibenarkan tidur dengan ibu bapa.
``Dalam keadaan ini, ibu bapa perlu bijak memberi perangsang dan galakan dengan pujukan agar mereka faham dengan keadaan yang dialami,'' katanya.
Mariani memberitahu, masa yang sesuai untuk anak-anak dipisahkan tidur mereka ialah ketika berumur empat atau lima tahun iaitu apabila anak-anak telah mengalami perkembangan kognitif dan mereka memahami sesuatu yang berlaku apabila diterangkan keadaan di mana mereka boleh berfikir.
Pada usia ini, anak-anak telah pun berada di Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan telah pandai berdikari serta memberi pendapat.
``Di Barat, ibu bapa telah memisahkan anak-anak mereka ketika bayi lagi supaya mereka berdikari.
``Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan, pengasingan kanak-kanak dari usia bayi tidak patut dilakukan untuk mengelakkan bahaya,'' katanya.
Dalam usaha menentukan anak-anak mempunyai satu sokongan moral untuk mereka berdikari dengan tidur berasingan, ibu bapa perlu bijak menggunakan ciri-ciri psikologi dan pujukan.
Antaranya ialah memberitahu anak-anak bahawa mereka telah besar dan sepatutnya berada di bilik sendiri dan berdikari.
``Ibu bapa boleh memujuk anak-anak dengan mengatakan mereka akan mendapat malu sekiranya kawan-kawan lain mendapat tahu mereka masih tidur sebilik dengan ibu dan ayah mereka.
``Anak-anak juga perlu diberitahu bahawa apabila tidur berasingan bukan bermakna ayah dan ibu tidak menyayangi mereka lagi,'' katanya.
Dalam tempoh tersebut, anak-anak masih boleh di beri peluang untuk kembali ke bilik ibu dan ayah mereka sekiranya mereka terasa takut bersendirian dan terjaga pada malam hari.
Mariani berkata, selalunya masalah sukar untuk tidur berasingan berlaku seki- ranya anak terpaksa tidur sendirian.
Bagaimanapun, adalah lebih mudah untuk memujuk anak-anak yang mempunyai adik-beradik sejantina untuk tidur berasingan kerana mereka mempunyai `kawan'.
Katanya, selain pujukan dan galakan, ibu bapa juga boleh memberikan `ganjaran' berbentuk hadiah, menerangkan bilik dengan lampu tidur atau pujian `pandai' selepas anak-anak mereka berjaya tidur di bilik mereka satu malam.
Pada masa yang lain, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti membaca buku cerita atau bercerita kepada anak-anak sebelum mereka tidur atau cat bilik mereka dengan warna yang mereka mahu serta isikan peralatan dan perkakas yang sesuai di dalam bilik itu.
``Jadikan perasaan anak-anak terhadap bilik dan barangan di bilik berkenaan sebagai hak sendiri yang seharusnya disayangi agar mereka akan berada di bilik mereka dengan rasa selesa,'' katanya.
Sehubungan itu beliau menyarankan ibu bapa, memberi masa masa beberapa bulan sebelum mereka benar-benar bersedia untuk tidur berasingan.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment