Mari kita baca dan hayati artikel mengenai kelebihan dan keistimewaan 7 ayat dalam Surah al-Fatihah ini. 
Subhanallah. Sesungguh Allah itu Maha Hebat dan Maha Bijaksana. 
Rahsia Di Sebalik Tujuh Ayat Surah al-Fatihah
Surah al-Fatihah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat,  tujuh ayat dalam Al Fatehah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia  seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf  mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan  ‘mim’ dan ada ayat yang akhirnya dengan ‘nun’. Ayatnya seolah-olah  bahagian akhirnya dipasang-pasangkan. 
Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh  ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan  manusia dan dengan ciptaan Tuhan. 
Antaranya ialah: 
- 1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu
 
Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau  jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka,  jadi kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah  ada hari yang lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga  Sabtu)? Tentu tidak. Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu  benar-benar menghayati Al Quran;  yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia  benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh  selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu,  maka akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah  hidupnya.
- 2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan
 
Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk,  ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang  mana sembahyang itu adalah rukun Islam  yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau digunakan. Kalau  agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua anggota.  Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan  patuh kepada Tuhan.
Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:
a.) Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala  seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula  ada bermacam-macam jenis.
b.) Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik  atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan  orang.
c.) Kedua-dua lutut
d.) Kedua-dua tapak kaki
Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota  penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah  kita menyebut, “Hidupku dan matiku adalah untuk Allah.” Ertinya semua  anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah  kita ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan  menggunakannya ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu  kalau kita sedari dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan  juga anggota dalam perbuatan.
- 3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga
 
Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau  tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti  sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh  intipati Al Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia  akan dapat salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat  dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah  satu dari tujuh peringkat Neraka.
- 4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi
 
Di langit ada macam-macam makhluk Allah yang ada hubungan dengan  kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada  hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian  sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.
Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia  bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak  juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman  dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk  yang ghaib seperti malaikat.
Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga  tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat  manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka  hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia,  hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan  manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu.Padahal malaikat ikut  campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga  mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat  manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib  ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh  kesan.
Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia.  Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh  ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya  ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu,  apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan  bahasa Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin  bercakap bahasa Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.
Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah  di dalam Al Quran:Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan  serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka  menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, ‘Diamlah kamu (untuk  mendengarkannya) .’ Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada  kaumnya (untuk) memberi peringatan.” (Al Ahqaf: 29)
Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak  melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang  haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan  tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu  berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau  tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk  makan lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.
- 5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat.
 
Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh  itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita.  Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:i. Nafsu  ammarahii. Nafsu lawwamahiii. Nafsu mulhamahiv. Nafsu mutmainnahv. Nafsu  radhiahvi. Nafsu mardhiahvii. Nafsu kamilah
Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari  tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada  tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini  dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka  atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling  lemah, Al Fatehah atau isi Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke  peringkat mulhamah. 
Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi  itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah  pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak  mudah goyang.
Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan  nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia  benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan  banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan  mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya  dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada  bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi  akan sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu  sampai kepada nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan  rasul. Manusia biasa boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja  kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.
Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf  malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh  dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran  sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan  merasai bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap. 
Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu  yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu,  dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk  kepada Al Quran.
Ayat Al Quran  itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita  memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil  tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya  maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau  kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat  ketujuh, yang mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi  boleh melakukannya hingga mereka sampai peringkat ketujuh itu.
Surah Fatihah Dibaca Dlm Setiap Solat
Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama. 
Namun kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia tidak  akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al Fatehah itu untuk  memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah  atau paling tinggi mutmainnah.
Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan  kekuatannya mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun  tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh  wujudkannya dan Allah berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh  jenis. Namun orang rohani yang diberi ilham oleh Allah boleh melihat  kekuatan Al Fatehah ini yang dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya  walaupun ilmunya ilham tetapi ia bersifat falsafah. Iaitu melihat  keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam  tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan tujuh  peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang dhaif dalam  mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan tujuh  tahap nafsu itu.
Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Fatehah padahal baru  memperkatakan kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu Fatehah,  belum masuk ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Oleh sebab itulah  saya lebih suka mengatakan Al Fatehah itu ‘Surah Yang Dapat Kemenangan’  daripada menamakan ia ‘Surah Pembukaan’.
Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu sebagai Surah Pembukaan  kerana ia diletak di depan Al Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya  elok dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih  luas. Ini kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang  ghaib dan rohani seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan  sendiri dalam menamakan surah ini menggunakan isim fi’il - ‘yang telah  mendapat kemenangan’. Lebih baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah  Fatehah itu menentukan seseorang itu mendapat kemenangan atau tidak sama  ada di dunia mahupun di Akhirat. Agar dengan itu hidup ini dipandang  berat dan tidak disia-siakan. Jangan dianggap semuanya kebetulan. Ia ada  hubung kaitnya dengan hidup kita.
Subhanallah. Allahu Akbar! Mari kita sama-sama memperbanyakkan bacaan surah al-Fatihah setiap masa dan ketika. 
No comments:
Post a Comment