Semua  orang hendak cantik. Demi cantik, sekarang orang sanggup bargadai,  asalkan cantik. Tidak cukup dengan bedak dan mekap, sanggup mereka  mengubah muka dengan pembedahan plastik, asalkan cantik.
Kadang-kadang walaupun terseksa mereka tidak peduli, kerana yang penting bagi mereka ialah cantik. Muka kena menawan biar orang memandang, berpaling dan menjeling, yang penting cantik. Apabila  hendak cantik, tentu bahagian mukalah menjadi sasarannya, dengan hidung  ditinggikan, mulut ditebalkan, tulang rahang dinaikkan, mata dibuat  alis, dilentik malah apa saja sanggup diubah selagi dapat diubah, kerana  yang penting cantik.
Kadangkala kesian juga pada mereka  yang hendak cantik tetapi tidak juga cantik-cantik. Selepas dicantikkan muka kemudian menjadi tidak cantik juga. Kenapa? Sebabnya  ialah kerana kecantikan bukan sahaja pada muka dan penampilan serta  aspek luaran tetapi juga kecantikan dalaman (inner beauty).
Kecantikan  dalaman sangat jarang diberi keutamaan seperti muka yang tenang  bercahaya berpaksi dari hati. Bercahaya bukan sahaja di dunia tetapi  berpanjangan dan berkekalan hingga ke akhirat.
Antara tip muka  bercahaya yang membekas kepada kehidupan ialah kesan wuduk. Sabda  Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya umatku kelak akan  dipanggil di hari kiamat dalam keadaan putih cemerlang kerana kesan daripada air wuduk." Ini satu jaminan kecantikan yang abadi.
'Inner  beauty' yang penulis maksudkan ialah kecantikan hati yang membawa  lahirnya peribadi cemerlang seperti nilai integriti seperti ikhlas,  jujur, amanah dan sebagainya bermula daripada wuduk.
Air wuduk  bukan sahaja membersihkan anggota fizikal tetapi membersihkan kotoran batin seperti dosa dan maksiat yang dilakukan. Jangan pandang kecil pada yang bernama pengampunan Allah sebab itulah pintu segala kebaikan dan kebajikan.
Cuba  lihat ibadat wuduk mendidik bersih hati dan nilai integriti. Wuduk  biasanya dilakukan secara sendirian, tidak ada orang melihat seperti  juga puasa orang tidak tahu. Boleh saja kalau yang berwuduk itu  hendak menipu seperti tidak basuh kaki atau basuh tidak sempurna kerana  orang tidak tahu. Kerana itulah wuduk hanya dilakukan orang yang ikhlas  sahaja. Orang ikhlaslah yang berseri wajahnya.
Mereka yang tidak pernah menghiasi muka dengan mekap wuduk sudah tentu tidak terlatih dengan keikhlasan. Sebenarnya  boleh sahaja kalau seseorang itu melakukan solat tanpa wuduk tetapi  keikhlasan sahaja yang membuatkan mereka tidak akan menipu. Orang yang  jujur akan terpancar pada wajahnaya cahaya  keikhlasan.
Seseorang yang sentiasa berwuduk sentiasa bersama  malaikat. Malaikat sebagaimana yang kita ketahui bersih dan tidak akan  berada di tempat kotor. Apabila bersama malaikat bukan sahaja ia  akan mendoakan orang yang berwuduk malah sentiasa mendorong dan  membisikkan kebaikan. Lagi banyak bisikan kebaikan, lagi terdorong  melakukan kebaikan.
Bukankah kebaikan itu bermula dengan dorongan. Sebab itulah orang berwuduk terpancar kebersihan dan cahaya dari wajahnya. Selepas kebersihan wajah dengan wuduk, kemudian muka pula berhias dalam batas syarak akan terserlah kecantikan.
Kalau  harap cantik dengan mekap dan krim pencantik tetapi muka jauh daripada  wuduk, itu hanya lakonan dan sandiwara itu yang menyebabkan rumah tangga tidak kekal, tidak ada kesetiaan dan integriti.
Bersama Pakar Motivasi Mohd Zawawi Yusoh
**********************************************************************************************************************************
Sedikit maklumat yan diperolehi dari carian ...
 
Wuduk atau wudhu adalah salah satu cara untuk menyucikan diri dari hadas  kecil. Jika air tiada atau tidak mencukupi, maka wuduk boleh diganti  dengan tayammum. Pengertian wuduk pada syarak adalah :-
Membasuh atau menyapu anggota tertentu yang dimulakan dengan niat
Hukum berwuduk adalah:
~ Ketika hendak mengerjakan ibadat tertentu yang dimulakan dengan niat.
~ Ketika hendak mandi wajib
~ Hendak membaca al Quran, hadis dan buku
~ Ketika hendak tidur
~ Ketika marah