Search This Blog

Zina ... Larangan menghampiri nya ...


Zina (larangan menghampirinya).

Pergaulan Bebas Adalah Ciri Yang Mendekatkan Kepada Zina.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu perbuatan dosa besar adalah berzina. Islam melarang keras perbuatan berzina kerana perbuatan ini adalah perbuatan keji dan boleh merosakkan keturunan dan akan menimbulkan persengkitaan di dalam masyarakat . Islam bukan saja melarang perbuatan zina tetapi Islam juga melarang segala bentuk perbuatan yang boleh menghampiri zina.

Di antara beberapa kaedah pokok dalam perundangan Islam, terdapat satu kaedah yang menyatakan: “Apa yang membawa kepada haram itu, hukumnya adalah haram.”

Jika perbuatan seseorang itu belum sampai kepada tahap zina yang membawa hukuman hadd, maka ia dikenakan takzir, sama ada perbuatan itu belum mencukupi syarat-syarat seperti berkhalwat, berpeluk-peluk, bercium-ciuman dan lain-lain seumpamanya. Semua itu adalah haram dan dikenakan takzir. Ia tidak syak lagi merupakan pendahuluan zina, maksiat dan dosa besar.

Perbutan menghampiri zina (takrabul zina) ini cukup jelas di firmankan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran surah al-Israk ayat 32 yang bermaksud : "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan."

Semua perlakuan dalam hubungan di antara lelaki dan wanita yang sudah akil baligh dan bukan mahram, samaada dari segi zahir atau batin dikira sebagai perbuatan zina. Apa lagi perhubungan fizikal yang lebih rapat (bercumbu-cumbun, berdua-duaan, berdansar dan berhimpit-himpitan), terutama dalam keadaan aurat terdedah.

Dalam Islam, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita ajnabi dilarang keras kerana segala tindak tanduk dalam pergaulan itu membuka peluang kepada mukadimah zina dan seterusnya melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sahabat yang dimuliakan,
Islam bukan sahaja melarang mereka yang menghampiri zina tetapi Islam juga melarang mereka yang bersubahat dan terlibat secara langsung dengan perbuatan menghampiri zina. Ramai di antara kita tidak menyedari bahawa kita telah meletakkan sahamnya dan memberi ruang kepada perbuatan terkutuk ini. Di kalangan masyarakat Islam sekarang , ramai ibu bapa yang memberi peluang kepada anak gadis mereka berdua-duaan dengan teman lelaki, semata-mata untuk mereka berkenal-kenalan dahulu sebelum berkahwin.

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka jangan sekali-kali dia berkhalwat dengan perempuan yang tidak ada bersamanya mahramnya, (kerana) sesungguhnya syaitan adalah orang ketiga bersama kedua mereka itu.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Mereka tidak sedar atau mungkin sengaja tidak mahu menyedari bahawa dengan tindakan itu, mereka turut bersubahat memberi peluang anak gadis mereka terbabit di dalam budaya 'takrabul zina'. Mungkin anak gadis mereka tidak melakukan zina, tetapi mereka sekurang-kurangnya sudah mendekati zina seperti melakukan zina mata, zina tangan, zina kaki atau zina hati dengan teman lelaki mereka.

Ibu bapa juga kena ingat bahawa sekiranya anak gadis mereka sudah bertunang sekali pun mereka masih tidak dibenarkan keluar berdua-duaan dengan tunangnya tanpa mahramkerana selagi belum dijalankan akad nikah maka mereka diharamkan untuk berdua-duaan dan bergaul dengan bebas.

Sahabat yang dihormati,
Pengaruh budaya barat dalam kegiatan sosial ini harus disedari sebagai virus berbahaya yang merosakkan budaya Islam, sekali gus meruntuhkan kekuatan umat Islam sendiri. Peringkat awal, orang barat melancarkan perang bersenjata terhadap kerajaan Islam, tetapi gagal. Mereka menukar strategi kepada perang psaikologi, termasuk mendedahkan corak hiburan yang membawa kepada pergaulan bebas.

Hiburan dari barat sengaja dieksport ke nedara Islam sebagai satu strategi perang psikologi untuk melemahkan umat Islam. Tanpa kesedaran ini, umat Islam bukan sahaja tidak peka dengan matlamat hiburan barat itu, malah mereka menerimanya sebagai seni dan budaya global.

Allah S.W.T mengingatkan Rasulullah S.A.W dalam firman-Nya yang bermaksud : " Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: 'Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)..."
(Surah al-Baqarah ayat 120)

Fenomena keruntuhan akhlak kini semakin serius di kalangan remaja Islam sehingga merebaknya wabak bohsia, bohjan dan pembuangan anak.

Betapa besarnya dosa zina Allah S.W.T berfirman maksudnya :
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina (yang belum berkahwin), hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”.
(Surah An- Nur ayat 2)

Seseorang yang melakukan zina Muhsan (sudah berkahwin) , sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan keatas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.

Daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani berkata : “Seorang lelaki desa datang menghadap Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam seraya berkata : ” Wahai Rasulullah ! Atas nama Allah, saya minta kepada Tuan supaya Tuan menjatuhkan hukuman kepada saya sesuai dengan Kitabullah.”

Kemudian berkata lelaki lawannya dan dia itu lebih pintar daripadanya: “Ya betul ! Putuskanlah perkara kami sesuai dengan Kitabullah dan izinkanlah saya lebih dahulu berbicara.”

Bersabda Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam “Berbicaralah.”

Katanya : “Anak lelaki saya bekerja menjadi pekerja orang ini, maka dia berzina dengan isteri orang ini dan sesungguhnya saya telah diberitahu bahawa anak saya itu harus dihukum rejam, maka saya tebus dia dengan seratus ekor kambing dan seorang sahaya perempuan. Kemudian saya bertanya kepada ahli ilmu, maka mereka mengatakan kepada saya bahawa anak saya itu dihukum sebat seratus kali dan dibuang negeri selama satu tahun, sedangkan isteri lelaki ini mendapat hukuman rejam (sampai mati).

Maka bersabda Rasullullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam : “Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya aku akan menjatuhkan hukuman di antara kedua belah pihak sesuai dengan Kitabullah. (Tebusan) Hamba sahaya dan kambing itu ditolak dan ke atas anakmu sebat seratus kali dan dibuang negeri satu tahun. Wahai Unais ! Besok pagi pergilah engkau kepada isteri orang ini ( dan periksa apakah dia memang berzina), jika dia mengaku, maka rejamlah dia !”

Berkata Abu Hurairah : Besok pagi Unais pergi kepada perempuan itu, (ternyata) dia mengaku (berzina).” Rasulullah memerintahkan supaya dihukum rejam, maka direjamlah perempuan itu.”
(Hadis riwayat Muslim)

Sahabat,
Di dalam realiti kita sekarang ini hukum hudud tidak dijalankan, sekiranya seseorang itu telah melakukan zina dan dia telah insaf di atas kesalahannya yang lalu maka jalan terbaik adalah dia bertaubat nasuha dan berazam tidak akan mengulanginya lagi perbuatan tersebut.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."

Marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh menasihati anak-anak kita dan remaja masa kini semoga mereka menjauhi zina dan aktiviti yang boleh menjurus kepada zina. Jika kita mendiamkan diri dan membiarkan anak-anak zina lahir ke dunia tanpa disekat jalan-jalan yang membawa kepada zina, maka kita khuatir bala Allah S.W.T akan menimpa kita semua.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Daripada Maimunah Radhiallahu Anha beliau berkata : “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : “Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya.”
(Hadis Riwayat Ahmad dengan sanad yang baik)

No comments:

Post a Comment