Seorang lelaki datang bertemu Abdullah Ibnu Masud menceritakan sahabatnya yang bernama Abu Huraij telah bernikah dengan seorang anak gadis. Abu Huraij bimbang jika isterinya itu membenci dirinya…
Lalu Abdullah bin Masud pun berkata, Kasih sayang itu dari Allah, sedangkan kebencian dari syaitan yang membenci sesuatu yang dihalalkan Allah untuk kalian.
Kata Abdullah lagi, Jika ia (isteri yang baru dinikahi) datang kepadamu, maka suruhlah ia solat sunat dua rakaat di belakangmu, dan katakanlah, Ya Allah, berkatilah isteriku untukku. Berkatilah mereka lantaran diriku. Ya Allah, satukanlah kami selama Engkau menyatukan dengan baik dan pisahkanlah kami jika Engkau memisahkan dengan baik.
Sepasang insan yang dirai mengalirkan air mata kesyukuran setelah berjaya menempuh badai godaan syaitan sebelum bernikah.Pertemuan pasangan yang diijab kabul secara sah didahului dengan sama-sama solat berjemaah dan sujud merafak sembah kepada Allah sebelum menyarungkan cincin ke jari manis isteri mempunyai nilai simbolik tersendiri.
Isteri yang bersedia solat berjemaah dengan suami, sama-sama menadah tangan mengaminkan dengan lafaz doa yang baik-baik dari suami ketika itu hanya mengharap agar dirinya dipimpin sepertimana yang dikehendaki oleh hukum syarak.
Ketika itu pelbagai perasaan berbaur dalam diri antara rasa takut, cemas dan mengharap agar dirinya diterima sepenuh hati oleh si suami dengan tidak berbelah-bagi. Memohon agar keaiban diri dan sifat-sifat mazmumah diri dapat dikekang dalam menjaga kesantunan budi di hadapan suami.Itulah saat yang paling berharga buat seorang isteri, juga buat seisi rumah yang menyaksi.
Begitu juga bagi si suami apabila seorang yang dulunya asing kini mengharapkan pimpinan darinya. Ini menuntutnya banyak bersabar dan berhemah dalam menyelami perasaan serta hati budi seorang wanita.Sebenarnya wanita yang lembut peribadinya, tinggi emosinya dan cinta kepada yang seni-seni tidak semestinya sentiasa suka dibelai manja oleh suami sepanjang masa. Sesekali dia mengharap teguran mesra dari seorang suami andai jalannya sudah tersasar agar dapat kembali ke jalan yang lurus.
Juga mengharap agar diperingatkan pada kejahatan nafsu yang perlu dikekang dan ditundukkan menurut hukum Tuhan. Percayalah para lelaki hati dan perasaan seorang wanita dan isteri akan mudah dididik untuk patuh kepada hukum Tuhan bilamana seorang lelaki sebagai ketua keluarga serius dengan Tuhannya.
Watak Pendamai Mampu Tundukkan Emosi Syeikh Ismail Hj. Hashim
Seorang suami perlu banyak bersabar atau pendamai untuk menundukkan dan menenteramkan perasaan isteri. Kalau perasaan isteri sedang bergelora atau marah kerana sesuatu sebab misalnya, suami jangan menambah kemarahan isteri atau menambah masalah.
Sebaliknya, menurut pendakwah yang juga bekas kadhi, Syeikh Ismail Hj. Hashim, suami perlu berperanan mengelokkan suasana. Kalau suasana tak elok, kita (suami) kena betulkan.
Beliau memberi contoh kes seorang isteri yang menyangka suaminya ada hubungan dengan wanita lain selepas menjumpai sehelai rambut yang panjang di dalam kereta suaminya. Lalu perasaan cemburu dan radang menguasai dirinya hingga perilakunya berubah. Enggan buka pintu bila suami balik dan keesokannya nekad balik ke rumah ibu bapanya.
Menghadapi situasi yang tidak diketahui hujung pangkalnya itu, mujurlah suami mampu bertenang dan cuba menyelidik. Lalu timbullah cerita sehelai rambut dari mulut isterinya. Suami lantas teringat, tempoh hari dia pernah menumpangkan seorang mak cik bersama anak perempuannya yang sakit ke hospital. Mungkin rambut yang ditemui oleh isterinya adalah milik mak cik itu atau anak perempuannya.
Bila dah diberi penjelasan, isteri pun boleh terima. Akalnya boleh terima, lalu perasaannya pun reda, cerita Syeikh Ismail. Dalam kes tadi, kesabaran dan kebijaksanaan suami berjaya mengelokkan kembali suasana keruh dalam rumah tangga. Satu hakikat yang lelaki harus faham, wanita kadang-kadang bertindak terlalu mengikut emosi kerana mereka secara semulajadinya lebih kuat dipengaruhi perasaan daripada pertimbangan akal.
Sebab itu, dalam satu hadis, Nabi s.a.w. menyebut bahawa wanita dijadikan daripada tulang rusuk yang bengkok.
Kerana bengkok itulah, kehidupan mereka banyak dipengaruhi oleh perasaan, oleh nafsu, bukan berlandaskan akal. Sebab itu Allah letakkan mereka di bawah pengawasan lelaki supaya lelaki menjadi pemimpin kepada mereka, ujar Syeikh Ismail.Kalau lelaki bersikap kasar atau melulu dan tidak bijaksana, wanita akan patahati, manakala kalau dibiarkan saja, dia akan tetap bengkok.
Al-Quran jelas menyebut bahawa lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana lelaki punyai kelebihan di sudut akal. Dari satu segi, perasaan isteri tentunya lebih mudah ditundukkan kalau si isteri mempunyai keyakinan pada suami sebagai pelindung dan pemimpin.
Kata Syeikh Ismail, Suami kena bagi isteri yakin dia sebagai pemimpin yang boleh diterima. Dia kena tunjuk kewibawaannya, jangan dia mempamerkan sifat-sifat yang lebih rendah martabatnya dari isterinya.
Jadi, suami mesti lebih tinggi daripada isterinya di sudut ilmu, iman dan amal. Rasionalnya, suami yang lebih berilmu akan mampu mendidik dan memberi ilmu kepada isterinya untuk meluruskan perasaan si isteri. Termasuklah mendidik perasaan isterinya dengan rasa sabar dan syukur.
Wanita ni mudah kufur budi (tidak mengenang budi). Dia boleh terima bermacam-macam nikmat dari suaminya tapi sekali dia marah, dia nafikan nikmat tu semua. Seolah-olah tak ada apa yang suami pernah beri. Oleh itu, perlunya kita beri ilmu supaya dia boleh melihat dengan pemikiran yang matang dan hikmah, bukan dengan emosional.
Menundukkan perasaan isteri juga umpama bermain tarik tali. Ada masanya kena dilepaskan perlahan-lahan, ada masanya pula kena ditarik. Oleh itu dalam menghadapi isteri yang sedang meledak perasaannya, ada kalanya suami perlu mengalah dan buat pekak telinga.
Syeikh Ismail membawa kisah seorang wali Allah yang ditanya kenapa dia tidak menceraikan saja isterinya yang terlalu buruk perangai. Wali Allah ini takut isterinya nanti berkahwin dengan seorang lelaki lain yang tidak boleh bersabar dengan kerenah dan perangainya hingga dia ditimpa berbagai-bagai keburukan. Baginya, lebih baiklah wanita itu tetap menjadi isterinya kerana dia mampu bersabar dan mungkin di situlah Allah menilainya sebagai ibadah atas kesabarannya.Dengan kelebihan ilmu, iman dan amal, suami dapat pula menanam iman ke dada isteri.
Dengan adanya iman, kalau ada kelemahan suami yang sedikit, dia boleh maafkan, dia tak nampak. Dia boleh berfikir dengan waras, katanya.
- Koleksi Anis
No comments:
Post a Comment