Search This Blog

Pesanan Terakhir Rasulullah SAW




Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin. Terdapat lapan perkara utama yang disebutkan oleh baginda SAW dalam khutbah tersebut. Secara ringkasnya :
Pertama, pengharaman riba kerana berkaitan dengan masalah ekonomi umat. 



Riba pertama yang diharamkan oleh baginda adalah yang diterima oleh bapa saudaranya, Abbas Abdul Mutalib. Ini menunjukkan dalam melaksanakan hukum Allah, tidak boleh pilih kasih. Sebaliknya ia perlu bermula daripada keluarga sendiri. Sabda Rasulullah SAW,“Semua amalan riba dihapuskan. Namun kamu berhak memiliki modal kamu tanpa kamu menzalimi atau dizalimi. Allah menetapkan tiada riba (lagi diamalkan).”

Kedua, perlindungan jiwa manusia.
Mesej Rasulullah SAW ialah hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu. Ia disebut untuk mengelak kita daripada jangan senang-senang hendak mencabut atau membunuh orang. Sebab itu diturunkan ayat tentang qisas dalam surah al-Baqarah ayat 179. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliah (sebelum Islam) telah diampunkan. Kata Nabi SAW, tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi’ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail. Dalam khutbah itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. la mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijjah).”
Ketiga, menghindari peperangan.
Islam adalah agama yang sejahtera yang membenci perang kecuali setelah terpaksa bagi mempertahankan agama, negara dan diri.
Keempat, kesama-rataan hak wanita.
Isteri itu adalah amanah Allah kepada suami dan mereka juga mempunyai hak tertentu seperti yang ditetapkan oleh Islam. Sabda Nabi, Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.
Kelima, menghalang penindasan.
Hal ini banyak berlaku sekarang. Pendek kata, Nabi berpesan supaya jangan kita menyalah gunakan kuasa untuk menindas orang lain.
Keenam, persamaan nilai kemanusiaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Dengar dan fahamilah sabdaku. Kamu tahu bahawa setiap orang Islam saudara (bertanggungjawab) kepada orang Islam yang lain. Sesungguhnya orang Islam bersaudara.”
Islam tidak meletakkan orang Arab lebih istimewa daripada orang ajam (bukan Arab). Warna kulit bukan pengukur sebaliknya tahap keimanan dan ketakwaan seseorang yang menentukan kedudukannya di sisi Allah. Ini sebagaimana sabda nabi SAW yang bermaksud, “Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah…”
Ketujuh, banteras sistem monopoli.
Umat Islam kini perlu mencari jalan menghapuskan sistem ini jika ia wujud. Para ulama berkata, suatu hari nanti kamu kena berhati-hati dengan monopoli. Antara contohnya, pasar raya besar kini mengambil alih kedai-kedai runcit menyebabkan peniaga kecil sukar mencari makan. Monopoli akan menghakis rasa kasih sayang.
Kelapan, al-Quran dan sunnah sebagai panduan.
Nabi meninggalkan dua khazanah ini kepada umat Islam. Sabda Nabi yang bermaksud: Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

Salam Maulidur Rasul ...

Marilah kita sama-sama berselawat keatas Rasul junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W