Search This Blog

Showing posts with label Kisah. Show all posts
Showing posts with label Kisah. Show all posts

TAZKIRAH JUMAAT #32 | ISTEMEWA NYA WANITA@IBU@UMMI@MAK@MOMMY ...


Kisah nie aku dapat daripada group whatsapp kengkawan ... Saje kongsi untuk manfaat bersama ... Berdiri bulu roma bila membaca nya ...

Ketika Allah menciptakan wanita, malaikat datang dan bertanya, "Mengapa begitu lama engkau menciptakan wanita, Ya Alllah ???"      



Allah menjawab : "Sudahkah
engkau melihat dgn teliti setiap apa yang telah aku ciptakan untuk wanita?" Lihatlah dua tangannya mampu menjaga banyak anak pada saat bersamaan, punya pelukan yang dapat menyembuhkan sakit hati dan kerisauan, dan semua itu hanya dengan dua tangan".    

Malaikat menjawab dgn takjub, "Hanya dengan dua tangan? tidak mungkin!"

Allah menjawab,"Tidakkah kau tahu, dia juga mampu menyembuhkan dirinya sendiri dan boleh bekerja 18 jam sehari".

Malaikat mendekati dan mengamati wanita tersebut dan bertanya, "Ya Allah, kenapa wanita terlihat begitu lelah dan rapuh seolah-olah terlalu banyak beban baginya?"
Allah menjawab,"Itu tidak seperti apa yang kau bayangkan, itu adalah air mata."      

"Untuk apa???", tanya malaikat.

Allah melanjutkan,"Air mata adalah salah satu cara dia menunjukkan kegembiraan, kerisauan, cinta, kesepian, penderitaan, dan kebanggaan, serta wanita ini mempunyai kekuatan mempesona lelaki, ini hanya beberapa kemampuan yang dimiliki oleh wanita. Wanita dapat mengatasi beban lebih baik daripada lelaki, dia mampu menyimpan kebahagiaan dan pendapatnya sendiri ... Dia mampu tersenyum ketika hatinya menjerit kesedihan, mampu menyanyi ketika menangis, menangis saat terharu, bahkan tertawa ketika ketakutan.


Dia berkorban demi orang yang dicintainya, Dia mampu berdiri melawan ketidakadilan, Dia menangis saat melihat anaknya adalah pemenang, Dia gembira dan bersorak saat kawannya tertawa bahagia, Dia begitu bahagia mendengar suara kelahir ...

Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya, tempat dimana cinta itu ada."    
   
"CINTANYA TANPA SYARAT"



Allahuakbar ... Ditujukan khas kepada semua  wanita yang membaca entry ini. Istimewanya seorang IBU dan beruntungnya dijadikan sebagai seorang wanita ... Hargailah mereka sementara masih ada kesempatan ...

Wallahua'lam ...
Semoga bermanfaat untuk semua ...


Bantu Azzri Fickri Lawan Kanser Tulang

Image viaYoutube Finn Tan

Siapakah Azzri Fickri?

Azzri Fickri bin Md Yusslin berumur 24 tahun merupakan seorang graduan jurusan perniagaan di UiTM Puncak Alam, Selangor.

Walaupun masih muda, Azzri Fickri telah menghidap penyakit kanser tulang yang serius sejak lebih kurang empat tahun lalu

Tahap kesihatan Azzri Fickri kini semakin tenat memandangkan penyakit kanser yang dihidapinya bertambah buruk dari masa ke semasa. Sel-sel kanser itu telah merebak ke bahagian tulang belakang, hati, bahagian tulang yang lain dan juga ke otaknya. Azzri kini lumpuh sepenuhnya di bahagian kanan badan, manakala hanya bahagian kanan paru-parunya yang masih berfungsi.


Harapan terakhir Azzri adalah untuk sentiasa berada di samping isteri tercinta serta melihat 3 orang adik perempuannya membesar dan berjaya dalam hidup ...

Ikuti kisah selanjut nyer kat SiNi dan bantu beliau untuk kembali pulih ...

TUNDUKKAN PANDANGANMU



Reminder to all of us
____________________________

بِيسمِ اللَّهِ الرَّحمَنِ الرَّحِيم 

Seorang suami mengadukan apa yang dirasakannya kepada seorang Syeikh. Dia berkata:

1. Ketika aku mengagumi calon isteriku, sewaktu itu seolah-olah dalam pandanganku, Allah tidak menciptakan perempuan yang lebih cantik darinya di dunia ini.

2. Ketika aku sudah meminangnya, aku melihat ramai perempuan seperti dia.

3. Ketika aku sudah menikahinya, aku lihat ramai perempuan yang jauh lebih cantik dari dirinya.

4. Ketika sudah berlalu beberapa tahun pernikahan, aku melihat seluruh perempuan lebih manis dari isteriku.

Syeikh berkata, "Apakah kamu mahu aku beritahu yang lebih dahsyat daripada itu dan lebih pahit?"

Suami menjawab,"Ya, mahu."

Syeikh: "Sekalipun kamu mengahwini seluruh perempuan yang ada di dunia ini, pasti anjing yang berkeliaran di jalanan itu juga akan nampak lebih cantik di matamu jika dibandingkan dengan mereka semua."

Si suami tersentak, dan bertanya, "Kenapa tuan Syeikh berkata demikian?"

Syeikh: "Kerana masalahnya bukan terletak pada isterimu. Tetapi masalahnya adalah bila manusia diberi hati yang tamak, pandangan yang menyeleweng, dan kosong dari rasa malu kepada Allah,
tidak akan ada yang bisa memenuhi pandangan matanya kecuali tanah kuburan."

Rasulullah bersabda:

"لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ ثَانِيًا، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلا التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ "

"Andaikan anak Adam itu memiliki lembah penuh berisi emas pasti ia akan menginginkan lembah kedua, dan tidak akan ada yang bisa memenuhi mulutnya kecuali tanah. Dan Allah akan menerima taubat siapa yang mahu bertaubat".

Jadi, masalah yang kamu hadapi sebenarnya adalah kamu tidak menundukkan pandanganmu dari apa yang diharamkan Allah.

Sekarang, apakah kamu menginginkan sesuatu yang akan mengembalikan kecantikan isterimu seperti pertama kali kamu mengenalnya? Ketika ia menjadi wanita tercantik di dunia?"

Suami itu menjawab: "Ya, tentu sekali."

Syeikh: "TUNDUKKAN PANDANGANMU."

Kalau Tak Suka, Pulangkan ...

Sebuah kisah untuk renungan kita bersama. 



Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj.



“Horey! ...Papa balik!” Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.
“Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya.
Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.
“Aimin bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulong.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk Laila.

Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

“Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!” Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya.

“Asal saya balik rumah mesti bersepah. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?” sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

“Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman.” Balas isterinya lembut.
“Fail saya kat depan tu mana?”
“Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”

“Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.

Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya. “Laila” Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.

—————————————————————

“Saya nak ke out station minggu depan.”
“Lama?” Soal Laila.
“Dalam seminggu.”
“Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?”
“Budak-budak? “
“Ikut jugalah.”
“Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana . Tengok masa kat Legacy dulu tu..”
“Masa tu Amirul kecik lagi.” Balas Laila.

Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi.

” Bolehlah Pa ! Lama sangat kita tak ke mana-mana.”
“Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” Muktamad!

Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

“Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!”
“Manalah saya ada masa..”
“Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!” Dia tersentak dari khayalannya.
“Kalau tak suka pulangkan balik!” Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir.

Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma...
“Mizi, makan!” Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. “Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.”

————————————————————

“Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.
“Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”
Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.
“Awak masak apa?”
“Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.
“Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”
“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan.
“Keluar!”
“Mama dah masak Pa!”
“Awak saja makan!”
“Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!”
Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan.
“Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi.
“Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.”
“Abang tak suka tengok papa marah-marah. .”
“Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?”
Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris.Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.
“Laila..” serunya
“Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.
“Sunyi pulak rumah ni mak,”
“Lama-lama kau biasalah.”
Airmatanya menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.

————————————————————

“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.
“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”
“Tak ada lah?”
“Ingat papa ni cop duit?”

Aiman termangu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.
Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya.
“Awak tak sihat ke?”
Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.
“Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

“Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”
Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

“Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. ” Ujar Laila perlahan
“Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana , kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

—————————————————————

“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.”
Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang.

Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah.
“Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.
“Abang!”
“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk.
“Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.”
Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A.
“Laila”

—————————————————————

“Papa nak ke mana hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. “Wangi-wangi lagi. Dating ye?”
“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.
“Ikut boleh?”
“Dia tak ajak family. Staff only!” Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang.

“Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami.”
“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. “
“Papa pesanlah..”
“Nantilah besar sikit.” Dalihnya.
“Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”
“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,”
Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”
“Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.”
“Mama tanya sikit boleh?” Dia mengangguk
“Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?”

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah.
Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

“Kalau tak suka pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.
Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian.

“Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan! ” Laila merenungnya dalam..

Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil.Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa..

“Kalau tak suka pulangkan,”
Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya. Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah.


Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..


Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan ...

TAZKIRAH JUMAAT #30 | Kisah Empat Lilin




Ada 4 lilin yang menyala.

Sedikit demi sedikit habis meleleh.

Suasana begitu sunyi sehingga terdengarlah percakapan mereka.

Yang pertama berkata:
“Aku adalah Damai.”
“Namun manusia tak mampu menjagaku, maka lebih baik aku mematikan diriku saja!”

Demikianlah sedikit demi sedikit sang lilin padam.
Yang kedua berkata:
“Aku adalah Iman.”
“Sayang aku tak berguna lagi.”
“Manusia tak mau mengenaliku, untuk itulah tak ada gunanya aku tetap menyala.”Begitu selesai bicara, tiupan angin memadamkannya.

Dengan sedih giliran Lilin ketiga bicara:
“Aku adalah Cinta”
“Tak mampu lagi aku untuk tetap menyala.”
“Manusia tidak lagi memandang dan mengganggapku berguna.”
“Mereka saling membenci, malah membenci mereka yang mencintainya, membenci keluarganya.”

Tanpa menunggu waktu lama, maka matilah Lilin ketiga.

Tanpa terduga…

Seorang anak saat itu masuk ke dalam kamar, dan melihat ketiga Lilin telah padam.

Kerana takut akan kegelapan itu, si anak berkata:
“Eh apa yang terjadi?? Kalian harus tetap menyala, aku takut akan kegelapan!”

Lalu si anak menangis tersedu-sedu.

Lalu dengan terharu Lilin keempat berkata:

“Jangan takut,
Janganlah menangis, selama aku masih ada dan menyala, kita tetap dapat selalu menyalakan ketiga Lilin lainnya:

” Akulah H A R A P A N “

Dengan mata bersinar, si anak mengambil Lilin Harapan, lalu menyalakan kembali ketiga Lilin lainnya.

Apa yang tidak pernah mati hanyalah H A R A P A N yang ada dalam hati kita. Semoga ia dapat menjadi alat, seperti si anak tersebut yang dalam situasi apapun mampu menghidupkan kembali Iman, Damai, Cinta dengan HARAPAN-nya!

Lelaki Jahat Yang Mengintai Anak Gadis Kita

Assalamualaikum & Selamat Pagi kengkawan semua ... Semalam saya dapat Whatsapp dari seorang kawan ... Kawan di alam maya jer, jumpa tak pernah lagi ... Saya rase nak kongsi ngan kengkawan, selain untuk simpanan saya sendiri ... Memandangkan saya ada seorang princess kat umah rasa risau, takut & ngeri bila baca kisah nie ... Jom  baca kengkawan & ambil iktibar mana yang patut ...


~~~~~~~~~~

Lelaki-lelaki jahat yang mengintai anak gadis kita ...

Beberapa hari lepas saya didatangi seorang ibu bersama anak gadisnya yang berumur 15 tahun, anak bongsu beliau.
Daripada riak mukanya saya tahu ini bukan kes biasa-biasa tentang haid yang tidak teratur.

Namun saya sengaja bertanya, datang sebab haid tak teratur ke?

Wanita itu mungkin dalam lingkungan awal 50an. Bertudung hitam labuh. Malah anaknya juga datang dengan seragam sekolah agama dan tudung labuh hitam.

Dia kelihatan serba salah dan tidak tahu untuk memulakan kata. Entahlah doktor, entahlah doktor, saya tak tahu nak kata apa, katanya berulang-ulang kali. Wajahnya seperti mahu menangis, dadanya kelihatan sesak dan dia sangat gelisah.

Lalu saya menerjah-mengandung ke anak Puan?

Selepas itu kata-katanya keluar bagai empangan pecah-tak dapat dibendung lagi.

Bermacam-macam cerita keluar dari tingkatan satu ke tingkatan 2 dan kini di tingkatan 3. Berbagai juga kata-kata pedih ditujukan pada anaknya yang kini menundukkan kepala saja. Bodoh. Tak faham bahasa. Kurang IQ. 

Rupa-rupanya anaknya ditangkap tidak hadir ke sekolah, tetapi telah keluar bersama lelaki. Anaknya jua telah mengaku kepada guru bahawa beliau telah berzina.
Namun dia percaya anaknya tidak melakukan apa-apa. Tak sampai peringkat zina. ‘Dia tak tahu doktor. Dia tak faham. Mungkin sekadar sentuh-sentuh dia fikir sudah melakukan. Dia ni bukannya pandai.
Saya rasa dia tak buat doktor. Dia tak tahu..”

Saya minta wanita itu keluar dan saya bersemuka dengan anaknya. Ternyata anak yang ‘tidak pandai’ ini telah melakukan zina sejak di Tingkatan 1-tanpa disedari ibubapa. Dengan ramai lelaki. Berbagai bangsa. Berbagai umur.

Dia tidak kelihatan seperti anak nakal dan liar. Dia kelihatan baik dan ya, mungkin sedikit naif-atau bodoh seperti kata ibunya.

Namun di sinilah lelaki-lelaki jahat mula memasukkan jarumnya.

Saya tanyakan bagaimana permulaannya. Saya tanyakan apakah beliau menonton video lucah.

Lalu dia menceritakan kepada saya awal mula penglibatannya menjadi seorang ‘pelacur’.

Tinggal di kawasan Kampung Pandan yang terdiri dari majoriti Melayu, lelaki jahat pertama yang membawanya mengenali dunia seks dalam keadaan akal dan jiwanya belum bersedia dan belum disediakan adalah seorang lelaki Indonesia. Bermula dengan mengajak menonton video lucah. Pastinya didahulukan dengan kata-kata manis dan pujian. Hingga akhirnya mahu melakukannya dan sehingga merasa ketagihan.

Kemudian disambut oleh lelaki-lelaki jahat yang lain sambung menyambung sehingga yang terakhir ini. 

Ada yang mengambil kesempatan merakam dirinya dan kemudian mengugut untuk menyebarkan videonya. Sehingga anak baik yang tidak tahu apa-apa ini terpaksa mencuri sejumlah wang ibubapanya untuk diberikan kepada lelaki tersebut.

Lelaki terakhir ini, sebelum perbuatannya diketahui adalah seorang lelaki berumur 30 tahun yang sudahpun ada 2 isteri.

Kata anak malang ini, --walaupun saya sudah tidak suka melakukannya, tetapi lelaki itu selalu merayunya sehingga dia merasa kasihan, lalu menurut kemahuan lelaki tersebut-----dapat saya bayangkan bagaimana lelaki jahat ini menggunakan kelebihan akalnya memanipulasi anak ini untuk memuaskan nafsu binatangnya.

Setelah saya kisahkan pada ibunya, longlai tubuhnya dan tersepuk dia di kerusi. Tidak disangkanya langsung anak bongsu manjanya telah jauh melangkah dalam keadaan dia sentiasa dalam ‘denial’- pura-pura tidak nampak atau tidak mahu percaya.

Pecah lagi empangan rasanya buat kali kedua. Menceritakan bagaimana sibuknya dia dan semua terletak atas bahunya. Anak yang ramai, ada yang punya masalah jiwa sedang dalam rawatan, anak dan menantu yang silih berganti bersalin dan beliau yang menjaga.

Tentang malunya sedangkan dia adalah ketua wanita di dalam sebuah NGO Islam. Suaminya pengerusi surau. Bagaimana dia merasakan tuntutan dakwah untuk menyampaikan kepada masyarakat. 

Dalam kesibukannya, dia tidak sedar anaknya sedang mengalami perubahan hormon. Dada anaknya sudah memutik dan ada rasa yang tidak difahami dalam dirinya. Namun, dia tidak perasan itu semua. Baginya anak bongsunya ini masih ‘baby’.

Namun ada mata-mata liar yang perasan. Yang boleh menghidu naluri semulajadi remaja ini. Yang akalnya sudah masak dan matang.

Kita melihat anak kita sebagai baby, namun ada mata lelaki jahat yang melihatnya seperti kucing melihat hidangan menggiurkan di depan mata …… yang melihat sampai ke dalam-dalamnya….baginya ini ada daging baru yang enak…

Lalu lelaki jahat ini akan memulakan jarumnya. Kenal-kenal dulu. Puji-puji. Minta nombor handphone. Memasang ayat-ayat….

Dan anak yang hidup dalam keluarga besar yang sentiasa sibuk ini, serta sudah dianggap tidak pandai ini, yang barangkali tidak pernah menerima pujian dari kedua ibubapanya, sangat mudah termakan pujuk rayu…dan selebihnya adalah sejarah…
Anak ini tidak jahat. Dia tidak liar. Dia lahir dari keluarga baik-baik , keluarga pendakwah.

Namun kerana adanya lelaki-lelaki jahat yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak ini, dia menjadi mangsa.

Beberapa ingatan yang melintas di kepala sebagai peringatan buat ibubapa.

1. bila anak meningkat remaja - perhati-perhatikan dia. Dia ada keperluan/needs. Jadilah temannya. Bersembang dengannya. 

2. Jangan mengutuk anak sendiri. Berilah pujian. Terutama bapa dan abang. Puaskan dia dengan pujian dari lelaki dari keluarganya, supaya dia tak layu lentok dengan pujian lelaki jahat. Ingat wahai bapa, kalau berat sangat mulut dan memuji, tangan berat sangat nak membelai, ada orang lain yang akan mengisi kekosongan itu nanti.

3. Keterlaluan dalam kesibukan - walaupun untuk tujuan dakwah. Wahai ibu, tempatmu di rumah. Perhatikan dulu anak daramu sebelum kamu ingin berdakwah.

4. Pendidikan - berikan sedikit pendidikan seksual bila tiba masanya. Biarkan dia mendengar dari mulut kita bukan dari mulut gatal lelaki jahat. Terkadang kerana ‘soleh’nya kita, nak menyebut seks pun kita tak tersebut. Bahkan dalam program reproduksi pun ada yang tak senang bila diajar tentang alat reproduktif kepada kanak-kanak - tak sesuai katanya.

5. Anak-anak perlu diberi pendidikan dan tanggungjawab. Jangan jadikan dia ‘pets’. Yang kita manjakan dan belai-belai selalu tanpa kita beri didikan. Jangan sesekali menyangka anak kita tak akan melakukannya…….ia akan memberikan kita rasa selamat yang palsu.

6. Bila anak kita telah jadi anak dara, seolah-olah ada bauan atau haruman yang tersebar keluar dari rumah kita - lalu menarik banyak ‘bugs’. Fahamkan dia tentang nilai dirinya. Banyak anak gadis hari ini, termasuk anak gadis kita juga, kadang tergedik-gedik dihadapan kamera. 

Fahamilah wahai ibu, wanita itu seluruhnya adalah aurat. Sangat menarik perhatian. Sangat menggoda. Beritahulah pada anak kita. 

Tanamkan sifat malu pada dirinya.
Perbetulkan pakaiannya.
Jagalah dia.

Sedikit nukilan dan ibrah untuk dikongsi bersama.

Yang ada anak lelaki tolonglah ajarkan supaya menghormati perempuan, belas dan kasih padanya dan sentiasa melindunginya.

Ya Allah lindungilah anak-anak gadis kami!

Dr Ariza Mohamed
Pakar O&G Hospital Pakar Ampang Puteri
AJK Wanita Ikram WP

~~~~~~~~~~

Haaa ... Bila saya baca kisah kat atas nie ... Tiba-tiba datang rasa ngeri, takut & macam-macam lagi ... Ya Allah ... Besar sungguh tanggungjawab yang aku kena pikul ... Aku harap aku mampu ... Semoga kisah kat atas nie memberikan sedikit pengajaran, or mungkin jugak peringatan buat kita semua ... Nauzubillah mintak dijauhkan kisah2 duka dari keluarga aku dan sahabat2 aku ... Ya Allah, Lindungilah anak2 kami ...

SINGA, TIKUS, ULAR DAN LEBAH MADU ...


Suatu malam seorang lelaki bermimpi, di dalam mimpinya seekor singa mengejarnya. Lelaki itupun berlari sekuat hati ke sepohon pokok besar. Tanpa berlengah dia memanjat dan duduk di dahan paling tinggi..dia memandang ke bawah..singa tidak berganjak menantinya di bawah pokok itu..



Kemudian lelaki itu menoleh ke sebelah pada pangkal dahan itu ada dua ekor tikus...seekor putih dan seekor hitam.sedang mengelilingi dahan tempatnya duduk dan menggigit dahan tersebut. Pasti! Tidak lama lagi dahan itu akan patah dan jatuh. Dalam keadaan cemas lelaki itu sempat menjeling ke bawah, bukan saja ada singa tapi juga seekor ular hitam yang besar sedang mengangakan mulutnya. Ular itu benar2 berada di bawah tempatnya duduk...andai kata dahan tempatnya berpaut patah sudah tentu dia akan terus masuk ke dalam mulut ular.


Di dalam kegelisahannya dia memandang ke atas,mencari kalau2 ada dahan yang lebih kukuh untuk dia berpaut. Tiba- tiba dia terpandang dahan di atas kepalanya ada sarang lebah madu yang penuh dengan madunya. Beberapa tetes madu menitis dari sarang itu, lelaki itu tertarik dan teringin untuk merasai madu itu. Dijelir lidahnya dan dapatlah dia merasai madu yang menetes dari sarang lebah itu.

Wau, sedap! Hatinya berbunga riang. Dia ingin menikmati lebih banyak lagi madu, semakin banyak ditelan semakin sedap hingga dia lupa pada bahaya yang sedang menantinya...

Kemanisan madu menyebabkan dia lupa pada dua ekor tikus yang sedang menggigit dahan tempatnya duduk. Pada ular besar yang sedang menanti untuk menelannya dan pada singa yang setia menantinya di bawah. Tiba- tiba dahan tempat duduknya patah. Pada ketika itu baru dia teringatkan bahaya yang sedang menantinya. Lelaki itu terjaga dari tidurnya...

Keesokan harinya dia bertemu dengan seorang alim untuk bertanyakan akan maksud mimpinya. Orang alim itu berkata, "Singa itu adalah kematian kamu. Ia akan sentiasa mengejarmu ke mana saja kamu pergi. Dua tikus hitam dan putih adalah siang dan malam. Hitam adalah malam. Putih adalah siang yang sentiasa silih berganti menarikmu semakin hampir pada kematian. Ular hitam besar yang sedang mengangakan mulutnya adalah kubur kamu. Kubur yang sentiasa menantimu sampai tiba saatnya kamu dikebumikan.

Manakala sarang lebah itu adalah dunia dan kemanisan madu yang menetes itu adalah kemewahan dunia. Kita tertarik untuk menjamah sedikit kemewahan dunia dan ia amat menyeronokkan. Keseronokan kemewahan dunia menarik kita untuk merasanya lagi dan lagi. Akhirnya kita hanyut di dalam kemewahan serta kemanisan dunia. Kita lupa tentang masa yang berputar, kita lupa tentang kematian begitu hampir dan kita lupa tentang kubur yang menanti dan memanggil...

Jadikan cerita ini peringatan dan iktibar untuk kita menjadi yang lebih baik... Carilah dunia untuk kesinambungan kehidupan dan kejarlah akhirat untuk bekalan untuk bertemu-Nya ...


Kisah Perangkap Tikus ...


Sepasang suami dan isteri petani pulang kerumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam "hmmm ... makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar??"

Ternyata yang dibeli oleh petani hari adalah Perangkap tikus.
Sang tikus naik panic bukan kepalang.

Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, " Ada perangkap tikus di rumah ... di rumah sekarang ada perangkap tikus...."

Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, " Ada perangkat tikus !"
Sang Ayam berkata, " Tuan Tikus ! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku.”

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor Kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba, “Aku pun turut bersimpati.. .tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku. "

Tikus lalu menemui Sapi. Ia mendapat jawaban sama. " Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Tak kanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus. "

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui Ular. Sang ular berkata " Eleh engkau ni...Perangkap Tikus yang sekecil tak kan la nak membahayakan aku.”

Akhirnya Sang Tikus kembali kerumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri. Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Buntut ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.

Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya kerumah sakit. Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun tetap sahaja demam.

Isterinya lalu minta dibuatkan sup cakar ayam oleh suaminya kerana percaya sup cakar ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapat cakar buat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya.Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih sapinya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan...Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

SUATU HARI ...
KETIKA ANDA MENDENGAR SESEORANG DALAM KESUSAHAN DAN MENGIRA ITU BUKAN URUSAN ANDA ...
FIKIRKANLAH SEKALI LAGI ...
SESUNGGUHNYA KAMU ADALAH BERSAUDARA ...

Published with Blogger-droid v2.0.10

TIDAK BEKERJA ???

Kaunselor : Apakah pekerjaan Encik Zainal?
Encik Zainal : Saya bekerja sebagai Akauntan di sebuah Bank.
Kaunselor : Halimah pula?
Encik Zainal : Dia tidak bekerja. Hanya suri rumah sahaja.
Kaunselor : Tiap-tiap pagi siapa yang sediakan sarapan pagi?
Encik Zainal : Halimah yang sediakan sebab dia tak kerja.
Kaunselor : Pukul berapa Halimah bangun untuk sediakan sarapan??
Encik Zainal : Pukul 5 pagi dia bangun kerana saya akan keluar bekerja pada pukul 6.30 pagi. Kaunselor : Anak-anak encik Zainal ke sekolah bagaimana??
Encik Zainal : Halimah yang hantar sebab dia tidak bekerja.
Kaunselor : Selepas hantar anak-anak, Halimah buat apa?
Encik Zainal : Pergi ke pasar, kemudian balik rumah untuk memasak dan kemas rumah. Halimah kan tak bekerja.
Kaunselor : Petang hari selepas Encik Zainal balik rumah, apa yang Encik Zainal lakukan?
Encik Zainal : Balik berehat, kerana seharian saya penat bekerja.
Kaunselor : Apa Halimah buat?
Encik Zainal : Sediakan makanan, melayan anak, mengemas dan dia juga mengambil upah menjahit. Dia menjahit sehingga lewat malam kerana dia tidak bekerja.

Berdasarkan cerita di atas, anda rasa siapa yang lebih banyak bekerja?? Rutin seharian Halimah bermula dari sebelum Subuh sehingga lewat malam, itu juga dikatakan TIDAK BEKERJA?? Suri rumah memang tidak perlukan segulung ijazah atau pangkat yang besar, tetapi peranan suri rumah sangat penting!

CRDEIT TO:: Kempen FB Aurat Saya Maruah Saya!